Huan desak SPRM segerakan siasatan terhadap Kerajaan DAP

Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar lebih agresif dan segerakan dalam melakukan siasatan terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Beliau kecewa sehingga hari ini masih tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak SPRM mahupun PDRM terhadap laporan yang telah dibuat sebelum ini.

“Bila SPRM mahu ambil tindakan keatas pihak yang terlibat dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang?

“Pada 21 Julai 2017 yang lalu, Parti Cinta Malaysia (PCM) telah membuat laporan dan menyerahkan bukti berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam laporan tersebut, PCM menggesa SPRM menyiasat sama ada wujud unsur penipuan atau penyelewengan dalam pembidaan projek terowong dasar laut itu.

“Sebelum itu, pada 17 Julai 2017 PCM telah membuat laporan polis di Pulau Pinang dan meminta polis menyiasat dakwaan kerajaan Pulau Pinang telah menganugerahkan projek kepada sebuah syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan, ketika membida projek terowong dasar laut tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Huan berkata jika syarikat konglomerat seperti Mudajaya Group Berhad mengumumkan tarik diri, ini jelas membuktikan projek ini sememangnya mempunyai masalah yang kronik yang wajar disiasat.

“Lebih mengejutkan, semalam antara syarikat konglomerat terbesar negara iaitu Mudajaya Group Berhad mengumumkan bahawa mereka menarik diri dari kontrak RM 810 juta yang diberikan kepada mereka oleh syarikat yang mendapat kontrak terowong dasar laut dari kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Alasan yang diberikan oleh Mudajaya Group Berhad untuk menarik diri adalah kerana:

*_a_* : Ketidaktentuan dalam pengambil alihan kawasan projek (uncertainties in site possession)

*_b_*: Ketidaktentuan dalam proses menandatangani kontrak pembinaan (uncertainties in signing of the construction contract).

“Lebih buruk lagi, menurut Mudajaya Group Berhad maklumat terhadap projek juga sangat minima (information provided for the project has not been sufficient). Atas tiga sebab berikut, syarikat gergasi Mudajaya Group Berhad menarik diri dari projek ini.

“Alasan yang diberikan oleh Mudajaya Group Berhad seperti di atas dengan jelas menunjukkan keseluruhan projek terowong dasar laut yang dibawa oleh kerajaan DAP Pulau Pinang ini merupakan satu projek yang tidak “feasible’ sehingga syarikat – syarikat yang mendapat sebahagian kontrak dari projek ini juga sudah mula menarik diri,” ujarnya.

SPRM tidak patut membiarkan isu ini tergantung begitu sahaja. Siasatan harus disegerakan agar dakwaan-dakwaan ke atas isu ini dapat dijelaskan. Ditambah pula dengan pengunduran Mudajaya Group Berhad dari projek tersebut. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *