Ini punca kenapa ramai perwakilan DAP tak hadir CEC

Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak menyifatkan jumlah peratusan kehadiran perwakilan di dalam pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP pada Ahad lalu merupakan satu sejarah hitam yang memalukan bagi DAP.

Beliau berkata, ketidakhadiran hampir 50 peratus perwakilan pada pemilihan semula CEC kali ini memberi satu tamparan hebat buat DAP dan ia juga memberi syarat sokongan dari kaum Cina mula merosot.

“Ketidakhadiran hampir 50 peratus perwakilan pada pemilihan CEC kali ini merupakan satu tamparan hebat di mana Dap selama ini merasa begitu selesa dengan sokongan kaum Cina dan yakin sokongan kaum Cina pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak tidak akan berganjak.

“Namun kehadiran jumlah perwakilan seramai hampir 54 peratus dari jumlah senarai asal jelas menunjukkan bahawa sedang berlaku episod penurunan sokongan serta hilang kepercayaan terhadap kepimpinan yang diterajui oleh dinasti Lim.

“Pimpinan parti cauvinis berkenaan perlu menerima hakikat bahawa ketidakhadiran hampir 50 peratus perwakilan memberi satu isyarat, bahawa parti berkenaan sedang mengalami defisit sokongan dari kaum Cina terutamanya terhadap beberapa isu yang tidak menguntungkan mereka, termasuk bersekutu dengan PPBM yang diterajui oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.

“Di kalangan 20 anggota CEC yang dipilih termasuk dinasti Lim, kemenangan mereka tidak boleh dibangakan kerana mereka telah ditolak secara outomatik oleh 46 peratus perwakilan yang tidak hadir malah kehadiran hampir 54 peratus perwakilan berkenaan juga sekadar memberikan sokongan pada kadar 70 peratus ke bawah,” katanya.

Beliau juga menyifatkan pemilihan semula CEC buat kali kedua ini menunjukkan DAP gagal membuktikan bahawa parti itu sebagai sebuah parti untuk semua kaum dan agama.

Jadi, Rahmad menasihatkan pemimpin-pemimpin Melayu yang berada di dalam DAP fikir kembali mengenai penglibatan mereka bersama parti yang jelas hanya untuk orang Cina sahaja.

“Kepimpinan Dap telah gagal secara total untuk membuktikan bahawa parti mereka itu adalah parti berbilang kaum sepertimana yang mereka selalu katakan. Ini amat jelas sekali apabila calon Melayu Islam ditolak dan tidak diberi tempat. Dap tidak dapat menafikan lagi hakikat bahawa kehadiran Melayu di dalam Dap tidak diiktiraf menerusi elemen pemilihan.

“Pemilihan CEC yang terbaru ini juga secara tidak langsung membenarkan dakwaan bahawa kehadiran Melayu di dalam Dap tidak lebih hanya sekadar melukut ditepi gantang, dan adalah lebih baik jika Perlembagaan Dap dipinda supaya calon Melayu mereka tidak membuang masa bertanding diperingkat CEC kebangsaan pada masa hadapan.”

“Saya rasa pemimpin dan ahli Melayu Dap perlu menerima hakikat realitinya hari ini parti Dap bukanlah bumbung yang selamat untuk kaum Melayu dan Islam berteduh.

“Konsep sama rata Malaysian Malaysia yang sudah sekian lama menjadi roh perjuangan Dap tidak dapat dimatikan lagi dan dasar serta ideologi politik Dap itu jelas tidak akan menyebelahi bangsa Melayu, terutama agama Islam di negara ini pada masa akan datang,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *