Juruterbang dituduh berkomplot dengan militan Islam ditahan di Bangladesh

DHAKA: Bangladesh semalam menahan seorang juruterbang syarikat penerbangan negara kerana dituduh berkomplot dengan militan Islam, untuk merampas atau menjunamkan pesawat, kata polis.

Sabbir Emam, juruterbang syarikat penerbangan negara, Biman Bangladesh Airlines, ditahan di ibu kota ini bersama-sama tiga lain kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan dipersalahkan terhadap kepungan sebuah kafe tahun lalu, mengorbankan 22 orang termasuk 18 warga asing.

Unit polis Batalion Tindakan Pantas berkata, Sabbir berkomplot dengan pelampau kanan Jamayetul Mujahideen Bangladesh (JMB) untuk menjunamkan pesawat ke rumah ahli politik atau menjadikan penumpang sebagai tebusan.

“Dia seorang berbahaya dan bekerja di tempat sensitif seperti Biman, digunakan ramai individu penting negara itu,” kata unit berkenaan dalam satu kenyataan.

Katanya, Sabbir, seorang juruterbang sejak 2014, menerbangkan pesawat Boeing 737 untuk syarikat berkenaan yang terbaharu, kelmarin.

Peguam atau keluarga Sabbir gagal dihubungi untuk mengulas.

Juruterbang itu didakwa ada kaitan dengan militan kanan termasuk Sarwar Jahan, ketua serpihan baharu JMB, sebelum terbunuh dalam serbuan polis.

Polis berkata, Sabbir dan Sarwar berkomplot melakukan serangan menggunakan pesawat dengan seorang lagi lelaki, Abdullah, yang terbunuh dalam serbuan September lalu bersama-sama enam lain termasuk isteri dan anaknya, di sebuah pangsapuri di ibu kota ini.

Bangunan itu milik bapa Sabbir, yang sudah disoal polis. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *