Kenapa DAP bayar bonus 2017 guna peruntukan bajet 2018?

Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang bercadang membayar bonus RM2,000 kepada penjawat awam negeri pada akhir tahun ini menerusi peruntukan Bajet 2018, dipersoalkan kerana ia tidak pernah berlaku didalam sejarah negeri.

Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mengumumkan bonus RM2,000 untuk anggota perkhidmatan awam negeri yang akan dibayar pada akhir tahun ini didalam bajet Pulau Pinang 2018, dibidas oleh Adun-adun BN didalam Sidang Dewan Undangan Negeri.

Pembayaran bonus tersebut melibatkan 8,000 penjawat awam negeri dan ianya dipercayai dibuat secara tergesa-gesa untuk bersaing dengan bonus untuk penjawat awam sebanyak RM 1500 yang dibuat oleh Perdana Menteri pada Bajet negara 2018.

Menurut ADUN Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad, tidak pernah dalam sejarah apabila bajet untuk anggaran perbelanjaan tahun depan digunakan pada tahun semasa.

“Kita bercakap tentang Rang Undang-undang Perbelanjaan 2018. Jadi, kalau mereka menggunakan peruntukan tahun depan untuk tahun ini, jadi tak kena, melainkan mereka gunakan duit yang ada pada tahun 2017, tapi tidak pula dibentangkan dalam Bajet 2017,” katanya.

Muhamad Farid turut berkata, tindakan kerajaan negeri itu juga jelas hendak memperlekeh dan memperkecilkan kerajaan persekutuan kerana hanya memberi bantuan khas RM1,500 kepada penjawat awam yang akan dibayar secara berperingkat iaitu RM1,000 pada Januari tahun depan dan RM500 sebelum Aidilfitri.

Sebelum ini, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua mencadangkan untuk mengurangkan pejawat awam sekiranya Pakatan Harapan berjaya merampas kuasa pentadbiran kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ujarnya, perbelanjaan yang digunakan untuk membayar penjawat awam membebankan negara dan kakitangan awam tidak memberi pulangan kepada pendapatan Negara dan wajar dikurangkan.

Tony juga berkata, Pakatan akan menyusun semula kewangan negara dengan melabur semula sumber hasil bumi negara di sektor yang mendatangkan pulangan pendapatan kepada Negara jika mereka berjaya merampas Putrajaya dari BN selepas Pilihanraya umum akan datang.

Badan pemikir Kerajaan Pulau Pinang (Penang Institute) juga pernah menggesa penjawat awam di negara ini dikurangkan dari 1.6 juta orang kepada hanya 430’000 sahaja. Menurut mereka, penjawat awam hanya membebankan kerajaan dengan perbelanjaan mengurus yang tinggi. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *