Kerajaan DAP mahu ratakan seluruh bukit di Pulau Pinang?

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya mengambil iktibar daripada kejadian bencana alam yang terburuk pernah berlaku di negeri Pulau Mutiara itu baru-baru ini.

Beliau berkata sejak DAP mengambil alih pentadbiran negeri Pulau Pinang pada 2008, jumlah projek di cerun bukit yang diluluskan adalah lapan kali ganda lebih tinggi berbanding semasa di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

Malah, beliau juga mengingatkan kerajaan negeri bahawa pembangunan yang diteruskan tanpa memikirkan kemusnahan terhadap alam sekitar dan keperluan untuk mengadakan peparitan yang sesuai, khususnya semasa membangunkan kawasan bukit dan cerun adalah antara punca bencana alam itu terjadi.

“Melalui apa yang kami bincang dalam jemaah menteri, kami diberitahu dalam jangka masa pendek kerajaan negeri DAP memerintah, jumlah perancangan di cerun-cerun bukit diluluskan mungkin tujuh hingga lapan kali ganda daripada apa yang diluluskan kerajaan (BN) dulu,”.

“Kesan daripada pembangunan itu penting kerana kerosakan alam sekitar akan mendatangkan pelbagai bencana alam,” katanya.

Didapati 131 kejadian cerun runtuh telah berlaku di negeri Pulau Pinang ekoran angin kencang dan banjir yang menimpa negeri ini sejak 15 September hingga 4 November lepas.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng, daripada jumlah itu, 46 kejadian cerun runtuh terjadi dalam kejadian bencana alam 15 September lepas, manakala 85 kejadian cerun runtuh pada 4 November di sepanjang rizab jalan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jalan-jalan yang terkesan iaitu Jalan Persekutuan Paya Terubong, Jalan Tanjung Tokong-Batu Ferringhi-Teluk Bahang-Balik Pulau, Jalan Tun Sardon dan Jalan Jeep, Bukit Bendera,” katanya.

Jika parti DAP masih diberikan kepercayaan dan mandat untuk memerintah negeri Pulau Pinang lagi selepas ini, mungkin semua kawasan bukit-bukit di negeri itu akan habis diratakan.

Bukit-bukit di negeri Pulau Pinang akan habis pupus dan musnah dek kerana kerakusan DAP melaksanakan pembangunan di kawasan bukit. Jadi, rakyat negeri Pulau Pinang perlu bersedia untuk kehilangan semua aset negeri di bawah pemerintah DAP. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *