Kerakusan DAP tarah bukit jadi punca bencana di P.Pinang.

Pembangunan tanpa kawalan yang dilakukan oleh kerajaan DAP negeri telah membawa musibah yang besar kepada rakyat negeri Pulau Pinang sehingga menyebabkan banjir kilat kerap melanda negeri setiap kali hujan lebat.

Penarahan bukit secara berleluasa juga dikatakan menjadi penyumbang besar banjir yang berlaku baru-baru ini sehingga mengakibatkan rakyat terpaksa berhadapan dengan bencana alam.

Banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyuarakan kebimbangan mereka tentang kerakusan kerajaan negeri terhadap tindakan itu serta pembinaan rumah di lereng-lereng bukit, namun ia tidak dipedulikan.

Oleh yang demikian, maka tidak salahlah jika kerajaan DAP dianggap sebagai sebuah kerajaan yang gagal didalam mentadbir negeri dengan baik. DAP juga sememangnya tidak mampu menangani isu banjir sehingga terpaksa meminta bantuan dari kerajaan pusat.

“Guan Eng harus bersyukur kerana Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan Timbalannya Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah menunjukkan sikap berjiwa besar dengan menolak tepi fahaman politik demi membantu rakyat di negeri itu.

“Sikap jiwa besar ini juga telah dicontohi seluruh kepimpinan dan jentera BN yang turut sama membantu mangsa banjir di negeri itu. Orang yang selama ini DAP cerca dan hina, kini menghulur bantuan tanpa ada sedikit pun ungkitan,” kata Ketua Penerangan Umno Annuar Musa.

DAP dan Ketua Menteri Lim Guan Eng juga dinasihatkan agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bongkak kononnya mereka jauh lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

“Jika diimbas kembali, pada 15 Disember 2013, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng begitu angkuh mengeluarkan kenyataan mampu menyelesaikan masalah banjir dalam tempoh satu penggal sahaja.

“Begitu juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong, Ng Wei Aik yang mengeluarkan kenyataan pada tahun 2008, mampu selesaikan masalah banjir dalam tempoh sembilan bulan sahaja… tetapi kita lihat apa yang terjadi sekarang ini,” kata Annuar dipetik sebagai berkata dalam satu artikel yang dikeluarkan Umno Online.

Annuar berkata bukan isu banjir sahaja yang menjadi bukti Pulau Pinang sebuah negeri yang gagal di bawah pentadbiran DAP, malah kejadian tanah runtuh baru-baru ini di Tanjung Bungah yang meragut 11 nyawa juga adalah satu lagi bukti kerakusan kerajaan negeri menarah bukit mencari keuntungan sehingga membawa bencana.

Beliau berkata pembangunan tanpa kawalan yang dilakukan oleh kerajaan negeri telah membawa musibah yang besar kepada rakyat negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *