Kit Siang tipu rakyat bila janji untuk siasat Mahathir

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao menyifatkan janji Penasihat DAP Lim Kit Siang akan menyiasat skandal kerugian RM100 bilion ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya untuk pancing rakyat.

Beliau berkata jika Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah mengetahui kebenaran mengenai penglibatan Mahathir yang kini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam skandal berkenaan sudah boleh mula siasat sekarang.

“Mereka hanya pancing rakyat mengatakan akan menyiasat kerugian RM100 bilion ini jika menang pada PRU14 sedangkan mereka boleh mula siasat Mahathir sekarang,” katanya.

Tambah Ramesh, beliau yakin jika DAP menang sekalipun, tiada siasatan yang akan mereka lakukan kerana mereka akan mempertahankan mereka yang mempunyai kepentingan kepada mereka.

“Mahathir ada kekayaan yang berbilion hasil skandal ketika jadi Perdana Menteri yang boleh digunakan oleh DAP dalam usaha memenangi PRU akan datang.

“Saya juga tidak yakin Kit Siang akan siasat Mahathir kerana ketika disoal Pasukan Petugas Khas Skandal Forex, Kit Siang tidak bercakap benar dan tidak mendedahkan pun kaitan Mahathir dalam skandal berkenaan.

“Macam mana mahu siasat kalau di dalam siasatan skandal FOREX pun Kit Siang tidak mahu beri keterangan yang betul?” kata Ramesh.

Kit Siang menerusi laman blognya ada menyatakan bahawa pakatan pembangkang akan melakukan siasatan dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) siasatan kerugian RM100 bilion daripada beberapa skandal kewangan melibatkan Mahathir selama menjadi Perdana Menteri.-Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *