Lelaki OKU ditahan AADK positif dadah rayu dilepaskan

PENDANG: Seorang lelaki kurang upaya merayu supaya dilepaskan selepas dia ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar daerah ini.

Lelaki berusia 37 tahun yang menggunakan kaki palsu itu antara 14 ditahan selepas masing-masing disahkan positif dadah dalam operasi bermula jam 11 malam tadi dan berakhir 5 pagi.

Pemangku Ketua Pegawai AADK Daerah Pendang, Nazir Kassim, berkata seramai enam anggota AADK diketuai Mohd Hafiz Mansor terbabit dalam operasi di Kampung Sungai Tiang, Kampung Tok Set, Kampung Pulau Keramat, Kampung Belakang Pendang dan Kampung Changkat Nering, susulan maklumat awam dan risikan.

Katanya, seramai 16 individu berusia antara 19 hingga 43 tahun ditahan dalam operasi terbabit, namun hanya 14 daripada mereka disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

“Kebanyakan mereka yang ditahan bekerja sebagai penoreh getah dan pesawah.

“Semua yang positif dadah akan didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Nazir berkata, pihak menghadapi kesukaran ketika menjalankan tugas kerana keadaan semak di kawasan rumah yang membahayakan anggota ketika serbuan dan terdedah dengan bahaya haiwan berbisa.

“Bagaimanapun, anggota kami berjaya melaksanakan operasi terbabit dengan penahanan semua penagih,” katanya.

Beliau pada masa sama, menggesa masyarakat membantu AADK agar masalah dadah dapat dibendung di akar umbi supaya generasi baharu dapat menikmati kehidupan yang sihat tanpa dadah terlarang.

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *