Lelaki samun dan rogol penuntut universiti sudah ditangkap polis

LELAKI yang melakukan samun dan merogol seorang penuntut universiti tempatan, kelmarin, ditangkap di sebuah pangsapuri di Pelabuhan Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek yang berusia 27 tahun ditahan pada 4 pagi tadi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kes itu yang dilakukan berseorangan dan dia bekerja sambilan sebagai pemandu perkhidmatan Grab Car.

“Kita merampas sehelai baju hitam dan seluar jeans biru, sebilah pisau, sepasang kasut merah, telefon bimbit jenis Samsung J2 Prime milik mangsa dan juga sebuah kenderaan jenis Proton Saga serta kunci,” katanya.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari mulai hari ini sehingga 9 November depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 22 tahun diperdaya seorang lelaki yang berpura-pura bertanyakan arah jalan.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam ketika mangsa yang berseorangan baru pulang dari pasar malam di Seksyen 7, Shah Alam menghala ke sebuah hentian bas sebelum didatangi lelaki itu.

Lelaki itu berpura-pura bertanya arah jalan kepada mangsa seterusnya mengacukan pisau dan menarik mangsa ke dalam kereta lalu menghala ke kawasan kilang berhampiran sebuah pangsapuri di Seksyen 7.

Selepas memberhentikan kereta di kawasan gelap, suspek merogol mangsa dan turut menyamun wang tunai RM100 serta telefon bimbit mangsa sebelum mengarahkannya turun dari kereta.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *