Mat Sabu ‘frust’ Amiruddin tak masuk PAN..

Parti Amanah Negara (PAN) mengalu-alukan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, penyertaan itu adalah satu lonjakan baru bukan sahaja kepada PPBM, tetapi juga rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya di Kedah dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan bila-bila masa.

Menurut beliau, dengan pengalaman dan ketokohan dimiliki bekas Yang Dipertua Pas Kuala Kedah itu sudah tentu akan menarik seramai mungkin rakyat di Kedah untuk bersama berjuang menegakkan keadilan dan mewujudkan sebuah kerajaan dengan tadbir urus yang baik.

“Kita menghormati pilihan yang telah dibuat beliau. Selamat berjuang dan selamat maju jaya bersama PPBM,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Amiruddin mengumumkan keputusannya keluar Pas dan menyertai PPBM.

Beliau membuat pengumuman itu dalam sidang media yang dihadiri pimpinan PPBM negeri di Alor Setar dan turut dihadiri Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tahun lalu, Amiruddin juga membuat langkah mengejutkan apabila meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkuatkuasa serta merta.

Amiruddin pernah menolak jawatan Pesuruhjaya Pas Kedah yang ditawarkan Pas Pusat kepadanya bagi menggantikan Datuk Mahfuz Omar yang tidak dilantik semula bagi sesi 2015-2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *