Menonton televisyen boleh tingkatkan risiko dapat darah beku

NEW YORK  – Menonton televisyen dikatakan boleh meningkatkan risiko mendapat darah beku sebanyak dua kali ganda, termasuk mereka yang rajin melakukan senaman.

Berdasarkan kajian Universiti Perubatan Vermont, golongan yang sering menonton televi­syen dan melakukan aktiviti fi­zi­kal berisiko mendapat darah beku 1.8 kali lebih tinggi berbanding mereka yang jarang atau tidak pernah menonton.

Mail Online melaporkan, kajian tersebut dilakukan terhadap seramai 15,158 peserta berusia antara 45 hingga 64 tahun di seluruh Amerika Syarikat.

Ketua penyelidik, Dr. Mary Cushman berkata, menonton televisyen menjadi aktiviti yang teruk apabila ada golongan yang cenderung makan snek dengan lebih banyak sambil menonton yang akhirnya boleh menjejaskan kesihatan.

“Penyelidikan tersebut me­li­­puti kajian pembentukan darah beku dalam saluran darah kaki, tangan, pelvis serta paru-paru yang lebih dikenali sebagai tromboebolisme vena (VTE).

“Kajian itu mendapati biar­pun gemuk sering dikaitkan de­ngan golongan yang sering m­enonton televisyen, namun ha­nya kira-kira 25 peratus daripada peningkatan risiko pembentukan darah beku dapat dijelaskan dengan gemuk,” katanya.

Cushman turut mencadangkan masyarakat boleh melakukan senaman atas mesin larian atau kayuhan sambil menonton tele­visyen untuk memperoleh akti­viti yang sihat dan bermanfaat.

Selain itu, beliau juga menya­takan melambatkan tempoh me­nonton televisyen selama 30 minit atau merakam rancangan kegemaran terlebih dahulu dan menontonnya kemudian juga bo­leh membantu masyarakat menjadi lebih sihat.

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *