Parti Gerakan yakin pengundi akan tolak DAP di PRU14

PULAU PINANG – Ketua Wanita Gerakan Pulau Pinang, Hartini Tan Abdullah menyifatkan sikap rakus Kerajaan DAP Pulau Pinang yang di bawah pimpinan Lim Guan Eng meluluskan projek pembangunan dan projek tambak laut menjadi punca pelbagai kejadian ngeri berlaku di negeri itu.

Sejak akhir-akhir ini, banyak kejadian tanah runtuh berlaku dan banjir kilat kali ke-120 melanda di negeri Pulau Mutiara itu. Minggu lalu, Pulau Pinang hampir lumpuh akibat banjir besar melanda negeri itu hingga menyebabkan beberapa mangsa banjir hilang nyawa.

Punca banjir kerap melanda di negeri Pulau Pinang adalah disebabkan pembangunan lereng bukit yang dibuat secara sesuka hati, laut yang ditambak tanpa perancangan dan projek tebatan banjir yang gagal.

Hartini berkata, projek yang dimaklumkan sebanyak 4,000 ekar tanah akan ditambak namun berubah menjadi 4,500 ekar itu bukan hanya akan memusnahkan ekosistem lautan di kawasan tersebut malah akan memberi kesan kepada nelayan.

“Bahagian selatan negeri ini adalah kawasan yang kaya dengan sumber perikanan dan menyumbang 80 peratus hasil laut Pulau Pinang.

“Pulau Pinang di bawah DAP sudah semakin nazak, Gerakan perlu bersatu padu untuk merampas semula negeri itu dan sama-sama kita menyelamatkan kembali pulau yang menjadi mangsa kerakusan parti pemerintah sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menghentikan semua projek di lereng bukit yang sedang berjalan ketika ini.

Ini kerana kata Presidennya, S. M. Mohamed Idris, kerja-kerja tanah di kawasan lereng bukit tidak patut diteruskan apatah lagi dalam situasi cuaca yang berubah-ubah ketika ini.

“Selain itu, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga tidak lagi wajar meluluskan sebarang permohonan daripada pemaju untuk membangunkan kawasan-kawasan lereng bukit termasuk di kawasan yang kurang 76 meter dari aras laut,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *