Pelabur di Pulau Pinang berterima kasih pada Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia Pulau Pinang, Dr Ooi Eng Hock, memuji kerajaan pusat kerana bertindak pantas dengan memperuntukkan sejumlah RM500 juta sebagai bantuan pinjaman bencana bagi syarikat-syarikat yang terjejas akibat banjir.

Katanya, SME Corporation turut menyediakan geran bencana bagi membolehkan syarikat-syarikat terbabit memohon geran bernilai RM20,000 untuk sekali sahaja bagi membantu mereka bermula kembali.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan persekutuan berikutan kemudahan bantuan ini di mana pemohon boleh meminta sehingga RM500,000 pada kadar faedah 2.2% setahun,” katanya.

Industri di Pulau Pinang menanggung kerugian sehingga RM300 juta selepas kilang mereka tenggelam akibat banjir pada hujung minggu lepas.

Sehingga kini, beberapa syarikat mengisytiharkan “kerugian besar” serta terpaksa memulakan operasi baharu dan banyak syarikat lain memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan operasi mereka.

Menurut Dr Ooi, kerugian itu merangkumi jumlah tenaga kerja yang terjejas, kelewatan logistik dan kerosakan harta benda.

Kerugian dianggarkan di antara RM200 juta dan RM300 juta, melibatkan kira-kira 1,000 syarikat yang majoritinya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Banjir pada hari Ahad telah melumpuhkan banyak kawasan di Pulau Pinang selepas jalan-jalan dinaiki air, pokok tumbang dan harta benda rosak. Banjir kali ini mengorbankan tujuh nyawa dan lebih 3,700 orang terpaksa dipindahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *