Pemaju dakwa terpaksa buat rumah mewah kerana harga tanah mahal

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menasihati kerajaan untuk mengenakan pembekuan sementara kepada kelulusan hartanah mewah berikutan jumlah hartanah harga lebih RM250,000 mencapai tahap tertinggi masih tidak terjual.

Berikutan nasihat dari BNM itu, kerajaan telah membuat pembekuan sementara pada kelulusan hartanah mewah. Bagaimanapun, kerajaan terpaksa menarik balik keputusan pembekuan kelulusan hartanah mewah itu kerana mahu menilai dan akan diluluskan berasaskan kes demi kes.

Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Leong Hoy Kum memaklumkan pemaju rumah terpaksa membuat rumah mewah kerana dipengaruhi oleh kos tanah yang mahal terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Jika dipertimbangkan harga tanah untuk kawasan tertentu dalam negara yang tinggi, ia tidak praktikal untuk membina hartanah bawah RM1 juta,” katanya.

Menurut beliau, sebenarnya masih terdapat banyak lagi pembeli yang mahu membeli hartanah mewah di kawasan tertentu dalam negara ini, dan berharap kerajaan untuk mengkaji semula pembekuan itu berasaskan kes demi kes.

“Kami percaya yang hartanah di lokasi yang baik, pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan pembangunan-damping-transit (TAD) masih akan dapat sambutan,” katanya.

Jika pihak berkuasa membeku sementara kelulusan untuk projek pembangunan hartanah mewah ini akan memberi kesan berantai dalam ekonomi yang lain yang mana bergantung kepada industri pembinaan dan perumahaan.

Pembekuan sementara kelulusan hartanah mewah ini dijangka akan menyebabkan harga rumah jatuh, kerana pemaju kecil akan menyemak semula harga rumah baru untuk menangani masalah projek terbengkalai, kata Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong.

Bagaimanapun, pembekuan kelulusan hartanah mewah ini tidak akan memberi kesan harga rumah jatuh jika pemaju hartanah memilih untuk menangguhkan projek mereka dan menjadi masalah rumah terbengkalai berbanding menyemak kembali harga jualan rumah yang ingin dijual.

“Jika pemaju pilih jalan ini, pemaju ini terpaksa melambat-lambatkan perancangan mereka.

“Ekonomi boleh jadi lembap kerana sektor hartanah dan pembinaan mempunyai banyak sektor lain yang menyokongnya seperti pembuatan, perkhidmatan dan pengangkutan,” katanya.

Suku pertama tahun ini, hartanah kediaman tidak terjual adalah 130, 690 unit, jumlah tertinggi dekad ini. Ia hampir dua kali ganda jumlah tertinggi pernah dicatatkan antara 2004 sehingga 2016 iaitu 72,239, kata bank pusat itu.

Johor mempunyai unit kediaman tidak terjual terbanyak (27% daripada jumlah keseluruhan di Malaysia), diikuti Selangor (21%), Kuala Lumpur (14%) dan Pulau Pinang (8%).

BNM juga mendedahkan yang sejak 2016 hingga suku pertama tahun ini, hanya 21% hartanah baru dilancarkan adalah rumah berharga bawah RM250,000. – utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *