Pembangkang di Malaysia semakin tak bertamadun – Zulkifli Nordin

Bekas pemimpin PKR, Datuk Zulkifli Nordin menyifatkan pembangkang kini semakin hilang punca dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Ini kerana katanya, prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan BN bertambah baik, mantap dan ditambah pula diterima rakyat.

Oleh sebab itu, beliau menyifatkan Malaysia mempunyai pembangkang yang teras politiknya adalah politik kebencian dan mekanisme yang digunakan adalah dengan mencipta pembohongan, fitnah dan penipuan.

“Telah banyak bukti yang menunjukkan pembangkang memang tidak bertamadun apabila mereka langsung tidak menghormati undang-undang dan sistem demokrasi yang ada, oleh itu berdasarkan pengalaman saya selam 12 tahun bersama pembangkang maka saya merumuskan PRU-14, BN akan berhadapan dengan sikap pembangkang yang semakin teruk.

“Momentum BN yang semakin diterima rakyat membuatkan mereka menjadi terdesak dan sudah pasti mereka akan menterjemahkan sikap yang lebih agresif bagi mencari undi.

“Sewaktu bersama pembangkang dahulu, saya melihat sendiri cara pembangkang yang menggunakan kaedah dan cara pendekatan yang langsung tidak ada sivik. Mereka lakukan tindakan yang orang waras tidak akan buat.”

“Sebab itu saya berani meramalkan PRU-14 akan menjadi teruk kerana inilah ibu segala pilihan raya.

“Oleh itu ingin saya menasihatkan jentera BN dan UMNO agar bertenang dalam berhadapan dengan pembangkang yang tidak bertamadun ini. Kita harus tunjukkan bahawa kita mempunyai politik berhemah dan berakhlak.

“Rakyat sekarang sudah pandai bernilai dan kepada rakyat pula saya berharap mereka melihat sendiri politik yang dibawa oleh kerajaan BN. Saya tidak katakan sempurna tetapi sekurang-kurangnya nampak apa yang dibuat dan dijanjikan malah diterjemahkan dalam pentadbiran BN,” katanya.

Sebab itu rakyat dinasihatkan supaya tidak terbawa-bawa dengan emosi dan sentimen. Rakyat harus berpaksikan kepada realiti iaitu hari ini negara diterajui oleh sebuah kerajaan yang menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *