Pengusaha Sangkar Ikan di Pulau Aman desak kerajaan negeri hulur bantuan

Minggu lalu, negeri Pulau Pinang dilanda banjir besar. Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan negeri Pulau Mutiara itu dilanda banjir kilat sekali lagi dan buat kali ke-120. Kejadian yang disifatkan paling teruk yang pernah berlaku di negeri itu hingga meragut beberapa nyawa.

Pulau Pinang hampir lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri ini terjejas teruk akibat dilanda banjir. Malah turut menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.

Selain menjejaskan kira-kira 100,000 penduduk negeri ini, golongan pengusaha sangkar ikan di perairan Pulau Aman turut terjejas teruk dan mengalami kerugian ratusan ribu apabila kelong yang dipasang di perairan tersebut habis musnah gara-gara dipukul ribut kuat dalam kejadian Ahad lalu itu.

Oleh itu, golongan pengusaha sangkar ikan ini mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menghulurkan bantuan bersesuaian. Mereka berharap kerajaan negeri tidak meminggirkan kumpulan pengusaha kelong berkenaan yang turut menjadi mangsa bencana banjir dan ribut.

“Saya melabur kira-kira RM145,000 bagi membina kelong ini dan pengusaha lain mungkin jumlah mereka lebih besar kerana ada yang melabur lebih RM1 juta.

“Malangnya, kesemua kelong kami musnah dilanda ribut itu dan kami kini mengalami kerugian besar,” kata seorang pengusaha yang dikenali sebagai Lan.

Manakala, pekerja di pusat penternakan ikan milik Pertubuhan Peladang negeri, Yahya Ibrahim pula menyifatkan kejadian kali ini merupakan yang terburuk.

Beliau berkata, ketika kawasan berkenaan dilanda tsunami pada 2004, kerosakan yang dialami di kawasan kelong-kelong berkenaan tidak begitu serius.

Mengulas perkara tersebut, Pengarah Perikanan Negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya kini sedang membuat tafsiran jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh pengusaha bagi membolehkan bentuk bantuan diperincikan. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *