Penjenayah seksual kanak-kanak AS perlu guna pasport baru sahkan identiti kesalahan

WASHINGTON: Mulai sekarang, Penjenayah seksual kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) perlu menggunakan dokumen perjalanan baharu yang mengesahkan identiti mereka sebagai pelaku kesalahan berkenaan.

Jabatan Negara pada Rabu memberitahu, pihaknya akan mula membatalkan pasport melibatkan pesalah seksual kanak-kanak.

Sehubungan itu, pihak terbabit perlu memohon dokumen baharu yang dilengkapkan dengan ciri unik untuk mengenal pasti status mereka.

Notis khas berhubung status pesalah itu akan dicetak di belakang pasport milik individu terlibat.

Menurut jabatan itu, mula sekarang juga, pesalah seksual kanak-kanak tidak akan memiliki pasport seperti kebiasaannya kerana ia tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menampal notis berkenaan.

Perubahan itu dibuat susulan “Undang-Undang Antarabangsa Megan” tahun lalu yang bermatlamat untuk menangani isu eksploitasi kanak-kanak.

Ia berkaitan pembunuhan Megan Kanka, 7 di New Jersey pada 1994 yang mendapat perhatian ramai.

Jabatan yang mengeluarkan pasport AS berkata, pihaknya akan mula memaklumkan semua pihak terlibat sebaik menerima senarai nama individu terlibat daripada pihak penguatkuasa Imigresen dan Kastam negara itu.

Bagaimanapun, buat masa ini pihak terlibat masih dibenarkan untuk menggunakan pasport sedia ada untuk ke luar negara.

Sumber – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *