Perangai khianat Mahfuz tak akan beri apa-apa kesan pada PAS

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar tidak perlu susah-susah keluar kenyataan menyatakan bahawa perjuangan politik beliau kini bersama dengan Pakatan Harapan kerana satu dunia sudah tahu mengenai pihak mana beliau berada, kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mahfuz yang menyatakan bahawa perjuangan politik beliau kini bersama dengan Pakatan Harapan baru-baru ini.

“Ucapan beliau itu pun bukanlah satu berita sebenarnya kerana satu dunia sudah tahu tentang pihak sebelah mana beliau berada.

“Jikalau tidak mengaku pun orang akan menilainya dari segi tindakan. Ini kerana dari segi tindakannya sudah pun menggambarkan isi hatinya,” katanya.

Walaupun tidak memberitahu parti mana yang beliau akan sertai, Idris berkata, ia adalah sama dengan Adun Anak Bukit Amiruddin Hamzah yang sudah sekian lama terpisah dari parti Islam itu.

Katanya, tindakan Amirudin meletakkan jawatan sebagai YDP Kuala Kedah, tidak menghadirkan diri ke program-program PAS termasuklah Muktamar Tahunan PAS tahun 2017 yang diadakan di Kedah telah menjelaskan segalanya.

“Ia bukanlah satu tindakan mengejutkan daripada kedua-dua individu tersebut. Pernyataan Mahuz yang mengatakan bahawa lebih ramai pimpinan PAS di pelbagai peringkat akan bertindak keluar parti juga tidak akan memberi apa-apa kesan.

“Sesiapa pun pernah bertindak sedemikian hatta Presiden PAS sekalipun pernah mengambil langkah keluar parti,” kata Idris.

Beliau berkata, perjuangan parti Islam itu bukan kerana individu, ahlinya berjuang atas dasar PAS itu sendiri.

“Mereka bersama-sama kita selagi mana PAS berpegang pada prinsip-prinsip Islam. Sedangkan para pimpinan boleh datang dan pergi serta boleh digilap,” katanya.

Mengulas tentang pencalonan Mahfuz sebagai calon mewakili PAS, Idris berkata, tunggu pilihan raya yang akan datang tidak lama lagi.

“Saya sendiri pun belum tentu jadi calon pilihanraya lagi, malahan isu berkenaan bukanlah hak peribadi kerana ia tertakluk pada keputusan parti,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Mahfuz mengakui perjuangan politiknya kini bersama dengan Pakatan Harapan yang disertai DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Malah, beliau turut mendakwa lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin PAS pelbagai peringkat akan menyertai Pakatan Harapan.

“Saya sudah mengatakan daripada awal, hatta saya dicalonkan dari awal oleh Pas sendiri pun saya tidak bersedia untuk menjadi calon mewakili Pas pada pilihan raya akan datang.

“Yang penting kepada saya adalah untuk saya melihat peralihan kuasa berlaku daripada Barisan Nasional (BN) kepada PH.

“Saya sudahpun bersama Pakatan Harapan. Saya antara orang yang hadir dalam pembentukan PH. Masa akan menentukan (penyertaan rasmi dalam PH),” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *