Polis lumpuhkan makmal dadah bernilai RM32.4 juta

POLIS melumpuhkan kegiatan pemprosesan dadah dan merampas bahan terlarang itu bernilai RM32.4 juta dalam enam serbuan di Johor Bahru dan Pasir Gudang, kelmarin.

Kejayaan itu membabitkan tindakan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) dan polis Johor.

Dalam serbuan itu, lapan individu berusia 27 hingga 58 tahun ditahan termasuk warga Singapura dan Vietnam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan dilakukan antara 1.30 hingga 7.45 pagi di Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Permas Jaya, Bandar Baru Permas Jaya dan Kampung Kong Kong Laut, Masai.

Katanya, siasatan mendapati makmal dan stor berkenaan menggunakan khidmat pakar dalam menghasilkan ekstasi.

“Sindiket ini turut menjadikan bangsal di kawasan terpencil serta kebun kelapa sawit sebagai makmal memproses dadah didalangi warga tempatan dan Singapura,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Mohmad berkata, tangkapan membabitkan enam lelaki tempatan berusia 30 hingga 58 tahun dan seorang lelaki Singapura berusia 46 tahun serta seorang wanita warga Vietnam berusia 27 tahun.

“Polis merampas 51,750 biji pil disyaki ekstasi, 227.6 kilogram serbuk dadah disyaki ekstasi yang boleh menghasilkan 756,667 biji pil ekstasi, 10.51 gram dadah disyaki syabu dan 713 kilogram bahan kimia pelbagai jenis dan peralatan memproses dadah,” katanya.

Katanya, sejumlah RM590,000 nilai sitaan berjaya dirampas membabitkan pelbagai jenis mata wang dari Singapura, Vietnam, Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia bernilai RM350,000.

“Tujuh kenderaan pelbagai jenis yang terbabit dalam jaringan sindiket itu turut dirampas,” katanya.

Ditanya sama ada Johor menjadi pusat menghasil dan mengedar dadah terbesar bagi tiga negara termasuk Singapura dan Indonesia, Mohmad tidak menolak kemungkinan itu.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan rekod 15 makmal dadah sudah dibongkar sebelum ini didapati Johor antara tiga negeri selain Selangor dan Pulau Pinang yang menjadi pusat menghasilkan dadah itu.

“Mengapa tiga negeri ini menjadi pusat menghasilkan dadah sudah pastinya permintaan banyak di sini, dengan mengambil kira populasinya.

“Johor juga menjadi tumpuan warga Singapura untuk mendapat bekalan di negeri ini ataupun mendapatkan bekalan berada di negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, semua suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut katanya, ia hasil kejayaan pemantauan berterusan JSJN dalam memastikan aktiviti sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah ditumpaskan.

“Pihak polis juga sentiasa memerlukan kerjasama dan pembabitan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *