Polis tahan dua lelaki bawa daun ketum 200 kilogram

POLIS menahan dua lelaki dan merampas 200 kilogram daun ketum yang disumbat dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) menerusi operasi ‘Snap and Check’ oleh anggota Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sik di Kampung Kuala Roman, Jeneri, semalam.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, kedua-dua suspek berusia 30 tahun yang menaiki Perodua Alza ditahan kira-kira jam 1.15 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui beberapa bungkusan daun ketum dibungkus dalam plastik hitam disusun dalam but dan tempat duduk belakang seberat 200 kilogram bernilai RM2,600,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku mendapat bekalan dari Lubuk Merbau dan dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis untuk dipasarkan.

“Kedua-dua lelaki tempatan itu kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3), Akta Racun 1952 yang boleh didenda RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *