Rakyat Belgium dan Argentina antara mangsa maut dalam serangan rempuhan trak

BRUSSELS: Seorang rakyat Belgium dan Argentina antara mangsa yang maut dalam serangan rempuhan membabitkan sebuah trak di laluan pejalan kaki dan basikal di New York, semalam.

Menteri Luar Belgium, Didier Reynders ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau amat sedih dengan tragedi itu dan berharap keluarga mangsa tabah menerima dugaan.

“Saya amat bersedih dengan kematian rakyat kita di Manhattan dan mengucapkan takziah kepada keluarga serta rakan mangsa,” kata Reynders menerusi Twitter.

Beliau bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut mengenai mangsa.

Sementara itu, Kementerian Luar Argentina berkata, konsulatnya sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti mangsa.

“Kerajaan Argentina amat terkejut dengan kematian rakyat kami dan berusaha membantu saudara dan rakan mangsa.

“Argentina mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dalam semua manifestasi serta mengulangi perlunya memperkukuh perjuangan menentang keganasan,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) berkata, lapan maut manakala 11 lagi cedera parah dalam serangan maut pertama ke atas ibu kota itu, sejak tragedi 11 September 2001 oleh militan al-Qaeda.

Insiden itu berlaku jam 3.05 petang berhampiran sekolah ketika ibu bapa dan pelajar bersiap sedia menyambut Halloween.

Presiden Donald Trump yang baru-baru ini mengekang kemasukan pendatang ke AS menegaskan, negara itu perlu memastikan militan Daesh ‘tidak kembali atau memasuki AS selepas mengalahkan mereka di luar negara.’ – AFP

Sumber –bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *