Risiko tanah runtuh jika ada pembangunan lereng bukit – JPS

Sebelum ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah menggesa kerajaan DAP Pulau Pinang mengarahkan pemaju menghentikan semua projek di lereng bukit. Senada dengan SAM, Pemuda BN negeri juga mahu kepentingan rakyat diutamakan berbanding keuntungan.

Kerajaan DAP negeri juga didakwa telah memberi banyak kelulusan kepada pemaju perumahan walaupun ada sebilangan projek di kawasan lereng bukit kerap dipersoal dan dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

Pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng juga dikecam hebat apabila dikatakan meluluskan projek pembangunan lereng bukit walaupun tanpa kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar P.Pinang (JASPP) sehingga menyebabkan tanah runtuh baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Nor Hisham Mohd Ghazale,menjelaskan bahawa tanah runtuh akibat banjir di Pulau Pinang antara risiko yang dihadapi kerana pembangunan di lereng bukit.

“Apabila kita membangunkan kawasan lereng bukit, risikonya memang ada dan pembangunannya memerlukan tindakan kejuruteraan yang sangat tinggi.

“Oleh itu, kita perlu sangat berhati-hati membabitkan projek di lereng bukit kerana satu perkara yang tidak dapat dielakkan apabila membangunkan bukit, kita akan mengganggu laluan air semula jadi. Selain itu, akan berlaku juga penebangan pokok yang sebenarnya mempunyai fungsi menyerap air,” katanya.

Nor Hisham berkata, semua perkara perlu dipantau jika projek pembangunan itu ingin diteruskan, termasuk memastikan jurutera yang dilantik pemaju mematuhi prosedur pembangunan di kawasan berbukit.

“Kita perlu kenal pasti keperluan teknikal. Sebagai contoh, di Pulau Pinang kebanyakan tanah sudah boleh dikatakan tidak ada kerana hampir sepenuhnya dibangunkan.

“Selain itu, timbul isu ketiadaan ruang untuk melebarkan sungai dan pelan takungan juga perlu dilihat menggunakan kaedah lain yang inovatif,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *