Siapakah pemimpin penyangak didalam Pakatan Harapan?

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan menegaskan bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan gabungan pakatan pembangkang kerana didalamnya ada `pemimpin penyangak’.

Siapakah pemimpin penyangak didalam Pakatan Harapan yang dimaksudkan Abdul Hadi? Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN), dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“PAS tidak boleh memberi harapan kepada Pakatan Harapan yang menjadi pendakwa atau yang mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya juga ada para pemimpin penyangak yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara.

“Di sana pula ramai kalangan yang tidak boleh menjadi saksi yang adil mengikut perhitungan Islam yang menjadi pegangan PAS,” katanya.

Istilah `pemimpin penyangak’ itu dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia bersandarkan kepada kenyataan yang pernah dibuat oleh Abdul Hadi dan juga pemimpin PAS lain sebelum ini.

Menurut Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff, istilah `pemimpin penyangak’ dilihat sangat konsisten dengan pelbagai kenyataan Abdul Hadi dan pemimpin PAS sebelum ini, yang sering menyalahkan Dr Mahathir atas pelbagai kerosakan yang berlaku dalam negara.

Sebagai contoh, sebelum ini Abdul Hadi pernah menggesa Dr Mahathir bertaubat ‘kerana bekas Perdana Menteri itu menjadi penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator’.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu juga pernah menggesa Dr Mahathir bertaubat di atas peristiwa Memali.

“Begitu juga dengan pelbagai skandal kewangan didakwa oleh pemimpin PAS sebagai dilakukan Dr Mahathir di mana dalam isu forex contohnya, pemimpin Pemuda PAS adalah yang pertama meminta Dr Mahathir disiasat apabila keluar pendedahan CIA mengenainya sehingga akhirnya mendorong Kabinet menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasatnya.

“Begitupun, disebabkan Abdul Hadi menyebut `di dalam pakatan harapan juga ada pemimpin penyangak’, maka ini bermakna pemimpin penyangak ini ramai, dari pelbagai parti politik dalam pakatan harapan khususnya yang bersekongkol dengan Dr Mahathir,” katanya.

Walaubagaimanapun, Kamarul Zaman tidak menolak istilah ‘pemimpin penyangak’ itu merujuk kepada pemimpin Parti Amanah Negara (PAN).

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ainul Adzellie Hasnul pula berpendapat kenyataan Abdul Hadi merujuk kepada bekas pemimpin PAS yang kini bersama PAN.

Ini kerana katanya, bekas pemimpin PAS yang berada dalam PAN menjadi halangan terbesar kepada PAS untuk bersama dengan gabungan pakatan pembangkang dalam menghadapi PRU-14.

“Saya tidak fikir pemimpin besar pakatan pembangkang seperti Dr Mahathir, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng atau Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuang pemimpin Parti Amanah Negara kerana mereka memerlukan parti serpihan PAS itu dalam gabungan pakatan pembangkang.

“Mereka juga tahu bahawa pemimpin Parti Amanah Negara tidak akan bekerjasama dengan PAS walau dalam apa bentuk kerjasama pun,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *