Sindiket Scam guna nama POS Malaysia untuk curi maklumat peribadi

Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk lebih berhati-hati supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket panggilan palsu atau scam. Sebelum ini, scam panggilan palsu atau lebih dikenali sebagai Scam Macau hanya menyamar sebagai pegawai polis, peguam atau sebagainya.

Terbaru, scam ini dilihat telah mengubah taktik mereka melibatkan Pos Malaysia. Pos Malaysia menyarankan orang ramai untuk tidak memberikan sebarang respon kepada panggilan telefon atau mesej suara yang kononnya dari syarikat itu yang meminta butiran maklumat peribadi pelanggan.

Kenyataan ringkas dikeluarkan syarikat logistik, pihaknya tidak akan meminta sebarang maklumat peribadi pelanggan melalui panggilan telefon.

Jika pihak mereka ada membuat panggilan, ia sekadar mahu meminta nombor rujukan daripada pelanggan.

Baru-baru ini, seorang individu telah mendedahkan menerima panggilan telefon yang mendakwa mereka adalah pihak Pos Malaysia dan meminta nama dan nombor kad pengenalan individu terbabit.

Pemanggil itu meminta maklumat peribadi mangsa dengan menyatakan terdapat dokumen atau bungkusan yang masih belum diambil oleh mangsa.

Tetapi, mangsa itu tidak mahu memberikan maklumat peribadinya dan terus menghubungi pihak Pos Malaysia untuk mengetahui sama ada pihak Pos Malaysia akan membuat panggilan telefon meminta maklumat peribadi pelanggan.

Sehubungan dengan itu, pihak Pos Malaysia menegaskan panggilan yang diterima itu bukan dari pihak mereka tetapi adalah panggilan scam.

“Orang ramai diminta menghubungi talian perkhidmatan pelanggannya di 1300300300 atau email di care@pos.com.my jika mahukan penjelasan yang lebih lanjut sekiranya menerima panggilan tersebut yang dikhuatiri merupakan panggilan `scam’,” katanya. – utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *