Syarikat Mattel lancar anak patung Barbie pertama memakai hijab

NEW YORK: Syarikat Mattel semalam, melancarkan anak patung Barbie pertama yang memakai hijab sebagai penghormatan terhadap atlet lawan pedang Amerika Syarikat, Ibtihaj Muhammad.

Ibtihaj adalah atlet pertama dari Amerika Syarikat yang memakai hijab ketika bertanding dalam Sukan Olimpik 2016.

Patung Barbie itu adalah sebahagian daripada koleksi ‘Sheroes’ keluaran Mattel dan ia memakai pakaian lengkap atlet lawan pedang, selain hijab.

Jurucakap Mattel ketika memberitahu AFP berkata, patung Barbie itu akan mula dijual secara dalam talian mulai tahun depan.

“Kami amat teruja untuk memberi penghormatan kepada @IbtihajMuhammad dengan menghasilkan patung #Barbie yang unik ini.

“Ibtihaj akan terus memberi inspirasi kepada wanita dan remaja perempuan di seluruh dunia untuk memecah tembok halangan yang ada,” kata Mattel dalam mesej yang dimuatnaik di akaun media sosial mereka, yang turut memaparkan gambar Ibtihaj memegang gambar patung Barbie terbabit.

Sementara itu, dalam laman webnya, Mattel berkata, patung Barbie itu akan memberi inspirasi kepada semua kanak-kanak perempuan, yang tidak pernah menyangka mereka mampu berjaya dalam bidang sukan dan kebudayaan.

“Kami harap patung ini mampu menunjukkan kepada kanak-kanak perempuan bahawa mereka mampu melakukan apa sahaja,” kata Mattel.

Dalam pada itu, Ibtihaj, 31, berkata langkah Mattel menghasilkan patung Barbie itu umpama menjadikan impian zaman kanak-kanaknya satu kenyataan.

“Terima kasih @Mattel kerana mengumumkan saya sebagai ahli terbaharu @Barbie #Shero family! Saya gembira kerana gadis di seluruh dunia kini boleh bermain dengan Barbie yang memakai hijab!” katanya di Twitter. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *