Tips Untuk Elak Terkena Macau Scam

Dalam satu siasatan,Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata bahawa pihak polis telah menerima banyak laporan daripada mangsa yang telah terperangkap dalam satu penipuan akhir-akhir ini, sindiket itu telah didapati menipu mangsa melalui panggilan palsu dan menipu mereka berjuta-juta ringgit Malaysia.

Menurut pihak berkuasa Malaysia, penipuan ini telah dikategorikan sebagai sejenis penipuan telekomunikasi (Macau Scam) di mana para pelaku adalah sebahagian daripada sindiket berasal dari Taiwan dan China yang menggunakan jalur tempatan dan antarabangsa dari Hong Kong.

Pihak polis juga telah mendedahkan bahawa sindiket ini beroperasi menggunakan empat modus operandi yang berbeza, iaitu;

1. Cabutan Bertuah / Lucky Draw

Difahamkan, mangsa akan menerima satu panggilan telefon atau sms yang mengatakan mereka telah memenangi satu cabutan bertuah yang bernilai ribuan ringgit daripada syarikat dari Hong Kong dan Macau

Pemanggil kemudian akan memberikan satu nombor telefon kepada mangsa dan meminta mangsa menghubungi nombor tersebut untuk menuntut hadiah yang telah dimenangi. Sebaik sahaja bersetuju, mangsa dikehendaki membayar cukai dan insurans kemudian pindahkan wang ke dalam akaun tertentu untuk mendapatkan hadiah tersebut.

Selepas selesai semua transaksi, mangsa tidak akan dapat lagi menghubungi nombor telefon tadi dan hadiah wang seperti yang dijanjikan juga lesap.

2. Menyamar Sebagai Penculik

Mengikut kaedah ini mangsa akan menerima satu panggilan telefon dari seseorang yang mendakwa anak atau ahli keluarga mangsa telah diculik. Mangsa akan diberitahu untuk membayar sejumlah wang tebusan dengan segera ke nombor akaun yang diberikan oleh si pemanggil.

Selain daripada itu, polis juga telah menerima laporan terdapat helah dan taktik lain yang dilakukan oleh mereka selain menyamar sebagai penculik. Mereka akan membuat panggilan dan menuduh mangsa telah terlibat dengan kes langgar lari ataupun mempunyai tunggakan pinjaman bank atau institusi kewangan yang lain.

3. Menyamar Sebagai Pegawai Polis / Pegawai Kerajaan

Teknik penyamaran yang digunakan oleh sindiket ini adalah seolah-olah mereka membuat panggilan dari nombor tempatan, perniagaan, atau dari agensi kerajaan melalui operator telefon ataupun VoIP.

Melalui teknik ini, mangsa akan menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa mereka dari mahkamah majistret atau pegawai polis, dan akan menuduh mangsa terlibat dalam aktiviti haram (seperti perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen, gangsterisme dan pengedaran dadah).

Mangsa kemudiannya akan diarah untuk memindahkan sejumlah wang tertentu ke satu nombor akaun, kononnya untuk mengelakkan akaun mereka dibekukan oleh pihak berkuasa.

4. Menyamar Sebagai Pegawai Bank Negara / Bank-Bank Lain

Mangsa akan menerima panggilan daripada seseorang yang mengatakan mereka adalah pegawai bank dan akan mengatakan yang mangsa telah mempunyai tunggakan kad kredit. Mangsa juga akan diberi satu nombor telefon yang kononya seorang pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengelakkan dari black list atau akaun bank dibekukan.

Akhirnya, mangsa akan ditipu untuk memindahkan wang ke akaun scammer melalui e-banking atau ATM.

Polis juga telah memberi beberapa nasihat kepada orang ramai untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan scammer ;

1. Sentiasa berhati-hati dan jangan mudah tertipu dengan cara atau taktik yang digunakan oleh pihak tertentu.

2. Jangan panik dan membuta tuli mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil tanpa menghubungi polis atau institusi kewangan yang terlibat.

3. Jangan membuat sebarang panggilan telefon dari nombor yang telah berikan. Sebaliknya, hubungi nombor rasmi syarikat, organisasi, atau institusi yang terlibat untuk penjelasan lanjut.

4. Jangan dedahkan nombor akaun bank, kad ATM, atau kad kredit anda kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

5. Layari laman web rasmi Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini dan nasihat mengenai skim penipuan kewangan.

Pihak berkuasa juga mendesak mangsa penipuan untuk datang ke balai dan membuat laporan polis supaya tindakan selanjutnya dapat diambil. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *