Trump gesa kawalan senjata api lebih ketat susulan tragedi tembakan gereja

SUTHERLAND SPRINGS, Texas: Presiden Donald Trump menggesa kawalan senjata api lebih ketat susulan tragedi tembakan dalam gereja di sini semalam, namun menegaskan insiden terbaharu itu bukan ‘situasi berkaitan senjata.’

Pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu berkata, negaranya kini berada dalam ‘kegelapan’ ketika bersedih dengan tragedi itu.

Pembunuhan semalam, berlaku lima minggu selepas serangan senjata terburuk dalam sejarah moden AS, menyaksikan penyerang yang memakai jaket kalis peluru menggunakan raifal melepaskan tembakan dalam gereja di bandar kecil Texas di sini, mengorbankan 26 orang dan mencederakan 20 lain.

“Saya fikir masalah mental adalah punca masalah di sini,” kata Trump kepada media apabila ditanya jika kawalan senjata mungkin mengurangkan keganasan senjata berleluasa melingkari AS.

Bercakap di Tokyo ketika lawatannya ke Asia, Presiden AS itu menggelar lelaki bersenjata terbabit ‘gila’ dan berkata, insiden tembakan besar-besaran terbaharu melanda AS ‘bukan satu situasi berkaitan senjata.’

Mangsa, berusia antara lima hingga 72 tahun, ditembak di First Baptist Church di sini, komuniti luar bandar didiami kira-kira 400 penduduk sejauh 50 kilometer di tenggara San Antonio.

Lelaki bersenjata itu, dikenal pasti sebagai Devin Kelley, 26, digambarkan pihak berkuasa sebagai lelaki muda kulit putih, ditemui mati dalam kenderaan selepas diserbu penduduk tempatan.

Tentera Udara AS berkata, Kelley berkhidmat di sebuah pangkalannya di New Mexico pada 2010 sebelum dikenakan tindakan mahkamah tentera pada 2012 atas dakwaan menyerang isteri dan anaknya.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan diberi pelepasan selepas itu kerana kelakuan buruk, kata jurucakap Tentera Udara Ann Stefanek kepada AFP. Dia dibebaskan pada 2014. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *