Wanita kerugian RM33,000 terima panggilan polis palsu

CEMAS apabila dihubungi polis memaklumkan terbabit dengan kes mahkamah menyebabkan seorang wanita kerugian RM33,000 apabila membuat pemindahan wang kepada tiga akaun bank, 31 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mangsa berusia 46 tahun yang juga pengurus sebuah syarikat swasta dihubungi seorang lelaki mendakwa dari Mahkamah Majistret Jitra, Kedah memaklumkan mangsa mempunyai kes mahkamah pada hari itu berkaitan penggunaan kad kredit.

Menurutnya, mangsa menafikan penggunaan kad kredit yang dikeluarkan bank terbabit dan panggilannya kononnya kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

“Panggilan mangsa disambung kepada seorang sarjan sebelum didakwa dipindahkan ke seorang wanita berpangkat Asisten Superintendan di Unit AMLA, Bank Negara.

“Wanita terbabit mengarahkan mangsa memindahkan wang ke akaun sementara untuk semakan pihaknya. Mangsa membuat tiga transaksi ke nombor akaun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, selepas transaksi wang berjumlah RM33,000 dibuat, baru mangsa membuat semakan dengan Bank Negara.

Katanya, selepas semakan dibuat menerusi talian bantuan Bank Negara, mangsa menyedari dia ditipu.

“Mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *