Zairil tuduh tanah runtuh di Tanjung Bungah salah Kerajaan BN?

Sudah menjadi kebiasaan pembangkang terutama parti DAP menunding jari kepada pihak lain terutama Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha untuk menutup kegagalan mereka menguruskan pentadbiran negeri di bawah pemerintahan mereka.

Dalam kejadian pada 21 Oktober, 11 pekerja binaan termasuk seorang warga tempatan disahkan maut akibat ditimpa runtuhan tanah di tapak projek perumahan mampu di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah.

Projek pembinaan itu sebelum ini mendapat bantahan keras dari pelbagai pihak dan penduduk namun Kerajaan DAP Pulau Pinang degil dan tetap meneruskan tanpa pedulikan aduan yang dikemukakan.

Kini Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari pula cuba menyalahkan Kerajaan BN atas berlakunya tanah runtuh di kawasan berkenaan. Beliau mendakwa projek pembangunan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tidak mendapat bantahan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti.

Wahal PLANMalaysia telah membuat dua bantahan terhadap projek pembangunan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah itu, iaitu pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perancangan Negeri yang dipengerusikan Exco Perumahan Negeri, Jagdeep Singh Deo dan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri yang dipengerusi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Selain PLANMalaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membantah projek pembangunan itu kerana menjejaskan alam sekitar di kawasan lereng bukit.

“PLANMalaysia memang tidak menyokong kerana jumlah kepadatan yang tinggi untuk projek itu, iaitu daripada 30 unit kediaman untuk seekar tanah menjadi 147 unit per ekar. Kita ada mencadangkan kepada 120 unit per ekar selaras garis panduan penyelarasan rumah kos rendah rendah ketika itu.

“Kerajàan Negeri meneruskan projek ini walaupun sudah ada bantahan dan cadangan oleh PLANMalaysia dan JAS,” kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Noh juga menempelak tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menolak mematuhi garis panduan pembangunan lereng bukit, seperti yang ditetapkan sejak 2009.

Beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang hanya mematuhi Garis Panduan Keselamatan Pembangunan Lereng Bukit yang mereka buat sendiri pada 2012 kerana ‘kononnya’ bersesuaian dengan negeri itu.

“Pihak kerajaan negeri sepatutnya patuhi saja garis kementerian sudah keluarkan kerana ia diiktiraf Majlis Pembangunan Fizikal Negara yang dipengerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan semua Ketua Menteri dan Menteri Besar menjadi ahlinya.

“Saya hendak nasihat mana-mana kerajaan negeri supaya patuhi apa juga garis panduan yang kita tetapkan kerana ia sudah mendapat persetujuan semua. Saya akui memang kementerian tiada kuasa untuk menguat kuasa tetapi tidak salah kerajaan negeri menguna pakai peraturan dan garis panduan itu.

“Kita tidak mahu akhirnya kerana mahu ikut cara sendiri apabila berlaku bencana alam, Kerajaan Persekutuan dipersalahkan konon tidak memantau dan memberi kelulusan projek,” katanya.

Zairil sepatutnya tidak meniru sikap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang sering menunding jari kepada pihak lain terutama Kerajaan BN untuk menutup kegagalan mereka.

Beliau sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan sepatutnya memperjuangkan hak rakyat dan menggesa kerajaan negeri menghentikan semua projek pembangunan di kawasan lereng bukit yang jelas berbahaya dan memberi kesan pada rakyat, bukannya bertindak menunding jari kepada pihak lain.

Tindakan Zairil ini juga membuktikan pemimpin-pemimpin DAP sememangnya jenis suka menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka dan tidak tahu menyelesaikan masalah. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *