41 orang disahkan maut akibat siklon tropika di pulau Jawa

JAKARTA: Seramai 41 orang disahkan maut akibat siklon tropika di pulau Jawa.

Agensi bencana negara itu berkata, daripada jumlah itu, 25 mangsa dilaporkan maut akibat satu kejadian tanah runtuh di timur Jawa, minggu lalu.

Jurucakap agensi terbabit, Sutupo Purwo Nugroho, berkata taufan itu juga menyebabkan kira-kira 28,000 mangsa dipindahkan dari kediaman mereka sejak seminggu lalu.

“Hampir 5,000 kediaman dilaporkan musnah, manakala 3,000 rumah lagi ditenggelami air,” katanya.

Siklon pemusnah itu membadai serentak dengan gegaran gunung berapi Agung di pulau Bali, yang diramal meletus memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Meskipun Indonesia sudah bebas daripada Siklon Cempaka, Nugroho memberi amaran lebih banyak kejadian banjir dan tanah runtuh mungkin berlaku.

Satu kejadian tanah runtuh di Bali pada Februari lalu menyebabkan 12 maut, termasuk tiga kanak-kanak.

September tahun lalu, hampir 30 maut dalam banjir dan tanah runtuh yang dahsyat di Garut, Jawa Barat. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *