5 aspek calon UMNO pastikan Putrajaya kekal milik BN. #PAU2017

Jangan biarkan Putrajaya terlepas ke tangan pembangkang, UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus bekerja keras mempertahankan Putrajaya agar terus kekal menjadi milik kita, kata Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Sayap-sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017.

Dalam pada itu, beliau berkata Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO juga perlu melakukan gerak kerja secara holistik dalam usaha BN mencapai kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ahmad Zahid berkata selain meletakkan matlamat untuk memenangi PRU14 bagi membentuk kerajaan, bahkan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti juga amat penting.

“Ketahuilah wahai bangsaku, satu undi kepada BN bermaksud satu undi kepada pembentukan sebuah kerajaan Persekutuan yang berwibawa dan bertanggungjawab.

“Tidak boleh tidak, kita wajib mengekalkan semua kerusi yang kita menangi dan merampas semula kerusi yang telah terlepas kepada parti pembangkang sebelum ini. Kita harus ‘retain and regain’ (kekalkan dan merampas semula) semua kerusi yang kita sasarkan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO harus mempunyai mentaliti mahu menang dengan berbekalkan semangat keyakinan dan tindakan.

Untuk menuju kemenangan itu, beliau berkata kepentingan parti harus diutamakan dan bagi individu yang tidak dicalonkan pada PRU14 harus menerima dengan hati terbuka serta tidak melakukan sesuatu yang boleh melumpuhkan gerak kerja parti.

“Jauhilah sikap buruk seperti mencari ‘personal glory’ (kemegahan peribadi).

“Kita berjuang demi parti…dan perlu melangkah sebagai satu pasukan mantap,” kata Ahmad Zahid sambil memberikan analogi permainan sepak takraw yang memerlukan tekong, tukang lambung dan tukang libas untuk bergerak sebagai satu pasukan.

Tambahnya, calon UMNO juga perlu memiliki aspek seperti berwibawa dinamik dan kematangan disulami aspek ‘winable’ (mampu menang), ‘likeable’ (disukai), ‘capable’ (berkemampuan), ‘trustable’ (boleh dipercayai) dan ‘intelligent’ (bijak).

Ahmad Zahid juga melahirkan harapan kepada ketiga-tiga sayap UMNO tersebut dalam menuju medan perjuangan PRU14.

Beliau berkata sayap Wanita perlu menggunakan pendekatan ‘hightouch’ atau bersemuka, dimana sayap Wanita perlu turun mengetuk pintu hati rakyat dan bukan sekadar mengetuk pintu rumah.

Manakala bagi sayap Pemuda, Ahmad Zahid berkata, “Jejaklah setiap desa dan ceruk rantau. Bersemukalah dengan rakyat agar mereka dapat diperjelaskan dan tidak terus terperangkap oleh percaturan politik tempang pembangkang.” –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *