Ahli-ahli UMNO wajib pertahankan Presiden Parti dari serangan fitnah media sosial.

Ahli UMNO perlu bangkit mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak daripada pelbagai serangan fitnah serta provokasi yang dilakukan oleh pembangkang didalam media sosial.

Perwakilan Pulau Pinang, Mohd Nasrol Hisham Abdullah menegaskan, presiden parti adalah institusi yang menjadi tunggak kekuatan UMNO dan ia harus dipertahankan daripada apa saja usaha yang melemahkannya.

“Setiap hari Presiden parti diserang oleh pelbagai pihak dari pembangkang semata-mata untuk mewujudkan imej buruk kepada pemimpin kita.

“Jika presiden lemah, parti kita juga akan lemah dan menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli untuk mempertahankan beliau dalam apa cara sekalipun.

“Jika kita gagal pertahankan presiden yang kita kasihi ini, ia bermakna kita semua telah gagal mempertahankan maruah parti.” katanya.

Nasrol yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas menegaskan, usaha berterusan untuk melemahkan presiden parti adalah bertujuan untuk menghakis sokongan rakyat terhadap UMNO.

“Kita harus bersedia menjadi benteng kepada parti dari pelbagai fitnah ini dan berhati-hati kerana negara akan jadi hancur lebur jika UMNO hilang kuasa..” katanya.

Provokasi dalam media sosial juga tak harus dibiarkan menyerang kepimpinan negara dan harus ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa.

Portal-portal pembangkang yang sering menyiarkan berita tidak benar mengenai parti juga harus dikenakan tindakan agar tiada siapa lagi berani menghasut rakyat agar membenci kerajaan. – UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *