Awas jika terima panggilan dari mahkamah

Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) mengingatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya jika menerima panggilan atau emel menggunakan nama dan logo PKPMP bagi tujuan untuk menipu wang.

Menurutnya, ia mengesan satu sindiket yang menggunakan modus operandi panggilan telefon dan menghantar emel palsu mendakwa mangsa tersebut mempunyai saman.

Kemudian, sindiket ini akan menuntut mangsa segera hadir ke mahkamah pada hari cuti atau hari minggu.

“Selain itu, sindiket tersebut turut dikesan akan menghantar emel kepada mangsa dengan mengatakan mereka merupakan waris yang sah bagi mewarisi harta yang bernilai jutaan ringgit.

“Sindiket kemudiannya akan meminta sejumlah wang dari mangsa yang terpedaya bagi menyelesaikan kes saman dan proses pewarisan harta terbabit,” katanya.

Mana-mana pihak yang menerima panggilan atau emel ini dinasihatkan supaya membuat pengesahan terlebih dahulu mengenai kesahihah panggilan telefon itu sebelum membuat sebarang urusan bagi mengelakkan berlakunya penipuan.

Walaupun perkara seperti ini sering kali diingatkan kepada masyarakat, tetapi masih ramai lagi yang tidak mengambil berat mengenainya sehinggalah mereka sudah menjadi mangsa penipuan palsu itu sendiri.

Sikap tidak suka ambil tahu ini juga menyebabkan sindiket seperti ini suka menjadikan rakyat negara ini sebagai mangsa dan dilaporkan terdapat banyak mangsa telah mengalami kerugian sehingga beribu-ribu ringgit akibat jenayah panggilan palsu ini.

Apapun, jika mana-mana pihak telah menerima panggilan palsu ini dan telah menjadi mangsa penipuan diminta untuk tampil membuat laporan polis. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *