Berhati-hati ketika buat pinjaman peribadi jika tak mahu rugi

Hasrat seorang wanita mahu membuat pinjaman peribadi tidak kesampaian apabila dirinya telah kerugian RM10,000 menjadi mangsa tipu sebuah syarikat pinjaman.

Wanita berusia 36 tahun itu telah menghubungi seorang lelaki dari sebuah syarikat pinjaman kerana berminat mahu membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000.

Selepas itu, pihak syarikat terbabit memaklumkan pada wanita itu bahawa permohonan pinjamannya telah diluluskan. Tetapi, dengan syarat mangsa perlu membuat pembayaran ansuran bulanan sebanyak RM1,280 dalam tempoh lima bulan.

Disebabkan seronok apabila mengetahui permohonan pinjaman diluluskan, wanita itu mengikuti segala syarat yang diminta lelaki terbabit.

“Mangsa yang teruja sejurus mengetahui permohonannya diluluskan tanpa berfikir panjang bersetuju dengan syarat terbabit sebelum memasukkan RM1,280 ke dalam nombor akaun sebuah bank diberikan lelaki itu, kira-kira jam 3.40 petang, hari sama.

“Bagaimanapun, pada jam 5.50 petang, lelaki itu menghubungi mangsa meminta memasukkan lagi sejumlah wang dengan alasan untuk pembayaran insurans takaful pinjaman sebelum sekali lagi mangsa berbuat demikian,” katanya.

Namun, lelaki terbabit sekali lagi menghubungi mangsa kira-kira jam 10.40 malam meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun sama kini menggunakan alasan untuk membuka akaun pinjaman.

“Mangsa yang tidak mensyaki apa-apa hanya mengikut arahan diberikan dan pada keesokan harinya, lelaki itu mengarahkan lagi memasukkan sejumlah wang dengan alasan untuk pembayaran PIDM (Perbadanan Insurans Deposit Malaysia).

“Setiap arahan individu itu dituruti, namun selepas memasukkan lebih RM10,000, individu terbabit masih menyuruh membuat pembayaran lagi, mangsa merasakan ada sesuatu yang tidak kena sebelum nekad membuat laporan polis kerana menyedari dirinya ditipu,” katanya.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan pelbagai tawaran menarik atau mahu membuat pinjaman peribadi yang meragukan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *