DAP mahu jadikan Malaysia sebagai negara Sekular

DAP merupakan parti anti Melayu-Islam dan perjuangan parti Roket itu adalah mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular, kata Presiden UMNO yang juga merangkap sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata DAP sejak 50 tahun lalu dikuasai oleh penasihat dan dinasti anak-beranak berbanding UMNO yang melakukan transformasi politik paling berani, demokratik dan tidak pernah dibuat sebelum ini dalam sejarah apabila meminda perlembagaan parti pada 2009.

“Jadi di mana demokrasi yang dimomok-momokkan? Ternyata sekadar pada nama saja. Hatta dalam pemilihan semula CEC DAP, hanya 54 peratus yang hadir.

“Ini tak masuk lagi cerita ‘parti Bunga Raya’ atau istilah dulu-dulu, kembang sepatu yang diterajui bekas pucuk pimpinan UMNO dan bekas negarawan,” kata Najib semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden semalam.

Beliau berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dikuasai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama ini mendakwa mereka mempertahankan dan berjuang untuk kaum Melayu namun berpakat dan sedang dijadikan ‘boneka’ DAP.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tidak tahu bersyukur dan berbohong apabila menuduh Kerajaan Persekutuan langsung tidak menghulurkan bantuan semasa banjir besar melanda di Pulau Mutiara itu.

Beliau berkata, semasa musibah besar itu melanda di negeri Pulau Pinang, Guan Eng merayu sehingga hampir menangis ketika menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta agar selamatkan negeri itu.

Namun malangnya, apabila Najib dan Ahmad Zahid turun ke negeri Pulau Pinang, Guan Eng pula dengan tidak bertanggungjawab dan biadap apabila mendakwa bantuan tidak dihulurkan.

“Inilah sekali lagi pembohongan dan penipuan. Inilah juga manifestasi perangai buruk DAP. Seperti mana disebut pepatah Melayu lama, dengan ikhlas ‘susu yang kita hulurkan, tuba pula jadi balasan,” kata Najib.

Najib juga membidas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memerli beliau di laman sosial Twitternya selepas beliau melawatnya di hospital baru-baru ini.

“Saya berziarah ke hospital melawat beliau yang sedang sakit atas sifat kenalan lama. Saya hanya melawat, sebab itu saya bawa isteri bersama. Tapi keikhlasan kami itu, tampaknya diperli pantun pula,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama UMNO dengan PAS, Najib berkata, pendirian parti amat jelas iaitu hubungan kedua-dua parti adalah terasas, demi kepentingan ummah, sekalipun pandangan politik mereka berbeza. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *