Elakkan diri dari jadi hamba hutang

‘Biar papa asal bergaya’ itu adalah antara prinsip yang sering diamalkan oleh anak muda sehingga menyebabkan mereka terjebak dengan hutang. Mahu nampak mewah dan bergaya, ramai yang mula hanyut dek kerana tidak pandai menguruskan kewangan mereka dengan betul

Kalau anda masih lagi meneruskan perkara ini, suatu hari nanti mungkin ramai yang akan diisytihar muflis dan menjadi hamba hutang. Setiap yang berlaku itu ada jalan penyelesaiannya, banyak cara yang boleh dilakukan untuk elak diri jadi hamba hutang.

Antara cara yang boleh dilakukan elak berhutang ialah semak gaya hidup. Kalau anda tidak mampu tambah pendapatan sedia ada, anda jangan sesekali cuba menambah komitmen. Biarlah rakan-rakan nak pakai kereta mahal, cukuplah anda hanya pakai kereta Axia.

Tidak perlu nak nampak mewah dan kaya hanya untuk dapat pujian orang. Bersyukur sahaja dengan apa yang ada, jangan sebab nak nampak mewah anda terbeban dengan hutang.

Selain itu, anda juga perlu jauhi kad kredit. Kalau sedar diri memang tidak pandai uruskan kad kredit jangan sesekali buat. Kalau sekali sudah buat kad kredit, pasti akan terjebak untuk berhutang dengan kad kredit.

Hutang PTPTN pun bayar tidak konsisten, inikan pula nak bayar hutang kad kredit pasti anda tidak akan dapat bayar tepat pada masanya.

Malah, amat penting untuk membuat senarai bajet atau belanjawan setiap bulan. Anda boleh membuat senarai belanjawan yang ringkas seperti komitmen yang perlu dibayar setiap bulan.

Dengan cara itu anda dapat melihat berapa bajet yang anda perlu ada setiap bulan dan lebih mudah untuk menguruskan kewangan. Sekurang-kurang kita tahu kemana duit gaji kita keluar setiap bulan.

Sementara itu, golongan muda juga digalakkan untuk hidup di bawah kemampuan. Jangan baru bekerja beberapa bulan saja dah mula nak beli kereta import. Sedarlah diri itu jangan terlalu hidup nak nampak mewah, hidup ikut kemampuan sahaja.

Daripada membazir menggunakan duit untuk perkara-perkara yang tidak penting lebih baik anda simpan duit gaji itu setiap bulan.

Akhir sekali, anda perlu bersedia untuk menghadapi situasi bahaya. Kita ini memang tidak akan terlepas dari benda atau kemalangan. Oleh itu penting untuk kita ada perlindungan takaful.

Sediakan RM100-RM300 untuk membuat perlindungan takaful dan medikal kad. Jangan abaikan tentang takaful, malang tidak berbau. Kita tidak akan tahu apa akan jadi pada kita suatu hari nanti.

Apapun, tidak susah sebenarnya untuk menguruskan kewangan ini. Cuma ramai yang tidak mahu lakukan sebab merasakan pengurusan kewangan ini tidak penting dan hanya mahu ‘enjoy’ dengan hidup.

Bila dah bankrup dan sudah menjadi hamba hutang baru nak cari jalan penyelesaian dan menyesal. Simpanlah duit anda dari sekarang, dan elakkan diri dari berhutang untuk kesenangan di masa depan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *