Endah ama­ran dunia Trump tetap berdegil iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

WASHINGTON  – Tanpa mengendahkan ama­ran dunia Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tetap berdegil untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan pejabat kedutaannya di Tel Aviv ke bandar itu sekali gus memecahkan dasar berhati-hati AS dan bakal mencetuskan pembe­rontakan di Asia Barat.

Trump dijangka mengumumkan keputusannya itu pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia) dari White House dan mengarahkan Jabatan Negara untuk mencari kawasan bagi pembinaan kedutaan itu di Baitulmaqdis.

Walau bagaimanapun proses memindahkan operasi diploma­tik negara ini ke Tel Aviv di­­­jangka mengambil masa bertahun-tahun.

Pemimpin AS itu juga dijangka menandatangani pengetepian hak keselamatan bagi melewatkan pemindahan pejabat kedutaan itu memandangkan negara ini masih belum mempunyai ba­ngunan sendiri.

Seorang pegawai kanan pentadbiran AS memberitahu, proses untuk membina pejabat kedutaan itu akan mengambil masa antara tiga tahun sehingga empat tahun.

Namun keputusan Trump itu yang merupakan janji utama dalam kempen pilihan raya tahun lalu, akan menterbalikkan dasar AS sejak berdekad-dekad lalu yang melihat status Baitulmaqdis sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin, yang mahukan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Semua sekutu AS dari Asia Barat telah memberi amaran tentang bahaya keputusan yang dibuat oleh Trump semasa pe­mimpin AS menghubungi mereka semalam.

“Trump percaya ini merupakan pengiktirafan realiti, kami (AS) melangkah ke hadapan da­lam dasar kebenaran yang tidak boleh dinafikan lagi. Ini merupakan satu kenyataan,” kata pegawai tersebut kepada wartawan semalam.

Para pegawai kanan pentadbiran Trump memberitahu, keputusan pemimpin itu bukan bertujuan untuk memihak kepada Israel malah persetujuan status akhir Baitulmaqdis masih kekal sebagai perkara utama dalam sebarang perjanjian damai antara Israel dan Palestin.

Demi mempertahankan keputusan itu, pegawai berkenaan berkata, tindakan Trump secara dasarnya menggambarkan kebenaran asas bahawa Baitulmaqdis merupakan milik kerajaan Israel dan perlu diiktiraf.

Namun Palestin menyifatkan tindakan itu sebagai ‘kucupan maut’ terhadap penyelesaian dua negara.

Pada masa yang sama masih belum jelas faedah politik yang bakal diperoleh oleh Trump eko­ran keputusan itu namun langkah berkenaan merupakan berita gembira kepada anggota konservatif Republikan dan golongan pendakwah Kristian yang merupakan sebahagian besar kumpulan yang menyokong dasar politiknya.

Walau bagaimanapun, keputusan berkenaan akan menyukarkan keinginan Trump untuk melihat kestabilan Asia Barat dan proses damai Israel-Palestin selain meningkatkan ketegangan, perkara yang cuba dielakkan oleh Presiden AS yang terdahulu.

Keputusan Trump itu dibuat susulan usaha Penasihat Kanan, Jared Kushner yang juga menantunya memulakan semula usaha damai yang tertangguh di rantau itu.

Tindakan Trump itu telah pun ‘menghidupkan’ loceng amaran di seluruh Asia Barat dan dijangka mencetuskan keganasan.

Ketua kumpulan Hamas, Ismail Haniyeh menegaskan, penduduk Palestin tidak akan membenarkan konspirasi itu dilaksanakan dan mereka akan mempertahankan tanah air dan kawasan suci umat Islam.

Israel menawan Baitulmaqdis Timur pada 1967 semasa perang Asia Barat dan kemudian memperluaskan jajahannya namun masyarakat dunia tidak mengiktiraf kedaulatan Israel terhadap keseluruhan bandar itu yang merupakan kawasan suci bagi umat Islam, Yahudi dan Kristian.

Tiada negara yang menubuhkan pejabat kedutaan di Baitulmaqdis. – Reuters

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *