Enggan mengalah berebut lembu, 2 penduduk lakukan sumpah pocong

JENEPONTO – INDONESIA. Gara-gara seekor lembu, dua penduduk daerah Jeneponto, Sulawesi Selatan terpaksa melakukan sumpah pocong.

Haiwan tersebut ditemui berkeliaran di kawasan sawah Dusun Parangbaji, Desa Camba-camba, Kecamatan Kelara yang kemudiannya dibawa ke balai polis Sektor Kelara.

Beberapa hari selepas itu, Johari dan Juddin dari Mapolsek Kelara datang ke balai terbabit dan mendakwa diri masing-masing pemilik lembu terbabit.

Berikutan gagal menemui jalan penyelesaian, kedua-duanya bersetuju melakukan sumpah pocong yang dipimpin Abdul Kadir Tompo dimulakan dengan sumpah perempuan, Johari, 40, penduduk Dusun Bontotene, Desa Pallantikang, Kecamatan Arungkeke yang dibungkus dengan kain kafan.

Sumpah sama turut dilakukan Juddin, 29, penduduk Lingkungan Saroppo, Kelurahan Tolo Selatan, Kecamatan Kelara.

“Kedua-duanya enggan mengalah dan gagal mengemukakan bukti hingga memaksa sumpah pocong dilakukan,” kata Abdul Kadir.

Menurut penduduk setempat, sumpah pocong itu adalah pertama kali dilakukan.

“Seumur hidup saya, ini adalah kali pertama saya melihat sumpah pocong. Sebelum ini, saya hanya melihatnya di televisyen,” kata seorang penduduk, Hadariah. – Kompas.com

Sumber – sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *