Golongan wanita paling berisiko mengalami kemurungan

Ramai yang masih tidak sedar, wanita adalah orang yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kemurungan. Kemurungan ini melibatkan rasa kesedihan, kepiluan, kekecewaan, putus asa dan hilang semangat secara berterusan, sehingga melebihi dua minggu.

Umum sudah mengetahui penyakit kemurungan ini adalah penyakit serius dan perlu untuk mendapatkan rawatan sewajarnya bagi mengelakkan ia berulang. Golongan wanita lebih mudah mengalami kemurungan lebih serius kerana golongan ini lebih mudah beremosi dan sentiasa berada dalam tekanan.

Pakar Perunding Psikiatri Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh berkata, wanita boleh mengalami kemurungan pada bila-bila masa saja.

“Golongan wanita menerima kesan kemurungan dalam fasa-fasa tertentu iaitu pada tahap kanak-kanak, remaja, dewasa, perimenopaus dan seterusnya pada peringkat menopaus. Malah, golongan ini juga akan melalui mood yang berubah sewaktu dalam pantang selepas bersalin.

“Sekiranya, kemurungan yang berpanjangan mengakibatkan kemudaratan kepada individu seperti hilang selera makan, rasa tidak seronok, sukar untuk tidur, sentiasa rasa bersalah, rasa tidak berguna, perkara seperti ini harus diambil berat oleh semua pihak terutama keluarga kerana mereka yang sepatutnya memahami dan mengetahui keadaan psikologi insan berkenaan yang di luar daripada kebiasaan,” katanya.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami kemurungan. Salah satunya keturunan, seseorang itu mempunyai sejarah keluarga yang berkaitan dengan kesihatan mental, keadaan persekitaran, stres dan kecelaruan fikiran.

Gejala kemurungan yang paling teruk apabila wujudnya perasaan ingin membunuh diri. Malah, penyakit kemurungan ini juga akan memberi kesan sehingga membabitkan anak-anak dan keluarga.

Menurutnya, gejala kemurungan ini kerap berlaku pada wanita dewasa yang berumur dalam lingkungan antara 20 hingga 40 tahun.

“Ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti perubahan hormon, gaya hidup trauma silam, masalah rumah tangga dan konflik diri menyebabkan tekanan. Namun, tekanan dan kemurungan sebenarnya lebih kerap melanda wanita dewasa yang produktif berumur dalam lingkungan antara 20 hingga 40 tahun,” katanya.

Disebabkan stigma masyarakat apabila berjumpa dengan pakar psikiatri disifatkan sebagai ‘gila’, ramai orang yang mengalami masalah kemurungan tidak mendapatkan rawatan yang sempurna.

Apapun, bagi mereka yang berasa diri dalam keadaan kemurungan mintalah pertolongan dan berbicaralah dengan seseorang yang memahami. Jika perlu jumpalah dengan doktor untuk berbincang. Tidak bermakna anda kumurungan itu menandakan anda ‘gila’. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *