Hujan lebat berterusan menyebabkan pembentukan sebuah tasik air jernih

YOGYAKARTA – INDONESIA. Hujan lebat berterusan di Dusun Wediwutah, Desa Ngeposari, Gunungkidul, Yogyakarta minggu lalu menyebabkan pembentukan sebuah tasik berkeluasan lebih 30 hektar.

Fenomena tersebut turut tular kerana airnya sangat jernih tidak seperti air banjir biasa yang biasanya kotor dan keruh.

Menurut ketua Dukuh Wediwutah, Diarto, daerah itu mula tenggelam Selasa lalu dan parasnya terus meningkat sehingga 20 meter.

“Ia didakwa berasal dari tujuh sungai bawah tanah dan menuju ke laut melalui satu laluan. Air tersebut berwarna kehijauan jika dilihat dari puncak tinggi dan ia telah menenggelamkan puluhan hektar kawasan pertanian.

“Sumber air itu digunakan untuk mencuci dan memasak kerana penduduk percaya ia adalah bersih,” katanya ketika ditemui pada Khamis lalu.

Sejak Jumaat lalu, ia turut dikunjungi ribuan orang yang mahu melihat sendiri fenomena luar biasa itu malah ada yang menggunakan air tersebut untuk mencuci muka mereka.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Geografi UGM, Ahmad Cahyadi ketika dihubungi Kompas.com memberitahu air tersebut berasal dari air sungai bawah tanah sehingga membentuk danau.

Difahamkan, paras air tersebut sudah mula surut kira-kira 30 sentimeter, namun langkah berjaga-jaga telah diambil jika ia merebak ke kawasan kediaman penduduk. – Kompas.com

Sumber – sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *