Ibubapa perlu berhenti guna kaedah ‘ugut anak’

Kesilapan besar ibubapa adalah suka mengugut anak dengan tujuan untuk mendidik dan mengajar. Tetapi, ibubapa tidak sedar perbuatan ugutan ini akan merosakkan emosi dan pemikiran anak.

Namun begitu, ada yang berpendapat bahawa tindakan ugutan ini dapat mendisiplinkan anak jika dilakukan dengan cara yang betul.

Penulis buku keibubapaan, Adlil Rajiah Mohd Nasir berkata amalan mengugut anak-anak untuk tujuan mendidik atau mendisiplinkan anak sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat Malaysia.

“Secara peribadi, dalam situasi tertentu, kaedah ini mungkin perlu dan berkesan dalam mendidik anak. Contohnya, apabila anak enggan mengemas mainan selepas bermain, kita boleh cakap begini, ‘Dalam kiraan 10, kalau tidak kemas juga, mama akan simpan mainan ini di atas almari dan kamu tak boleh main selama dua hari’.

“Menurut kajian, kaedah ini dipanggil sebagai ‘ugutan munasabah’. Kita beri anak pilihan dan ruang untuk mereka berfikir mengenai natijah sikap yang dia tunjukkan.

“Namun, janganlah kita ugut dengan sesuatu yang kita sendiri tidak mampu lakukan. Contohnya, ‘Kalau tak kemas mainan ini, mama akan buang dalam tong sampah’. Padahal kita tidak pernah buang pun.

“Lama kelamaan, anak akan tahu itu sekadar penipuan untuk sekadar ‘menakut-nakutkan’. Ugutan sebegini bukan saja tidak berkesan, malah secara tidak langsung mengajar anak menipu. Justeru, tidak hairanlah bila anak besar, dia pula yang akan gunakan teknik yang sama untuk membuli adik-beradik atau kawan-kawannya,” katanya.

Beliau berkata, kesan buruk menggunakan keadah mengugut ini akan menyebabkan anak murung. Malah, boleh menjejaskan aspek psikologi dan membuat anak lebih susah untuk mendengar kata.

“Lontaran suara ketika kita mengugut anak juga biasanya kasar dan kurang enak didengar. Sedangkan cara percakapan adalah kemahiran yang anak contohi dan warisi daripada kita. Mereka lihat, dengar dan ikut.

“Sebaik-baiknya, nasihat dulu secara berhemah. Beri mereka teguran yang jelas tanpa sebarang ugutan. Melalui cara ini, anak lebih mudah faham dan dalam masa sama, mereka mempelajari sisi matang kita sebagai ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, kaedah terbaik dalam mendidik anak bukan dengan mengugut sebaliknya berikan teladan yang baik. Anak banyak belajar dari apa yang mereka lihat terutamanya dari sikap ibubapa.

“Nasihat dan teguran semata-mata adalah membuang masa. Ini kerana, anak banyak belajar daripada apa yang mereka lihat, dengar dan perhatikan daripada sikap ibu bapa sendiri.

“Jika mahu anak menghormati ibu bapa, kita haruslah terlebih dulu hormat kepada anak dan orang sekeliling. Jika hendak anak sayangkan ibu bapa, ibu bapa dulu perlu tunjukkan kasih sayang kepada anak.

“Nak anak dengar kata, ibu bapa dulu perlu banyak meluangkan masa mendengar suara, luahan dan rintihan anak-anak. Hendak anak bercakap perkara baik-baik dan lemah lembut, ibu bapa dulu perlu awasi bahasa dan gaya percakapan yang dituturkan seharian, walaupun sewaktu ketiadaan anak-anak.

“Semuanya bermula dengan kita, ibu bapa. Jadi contoh yang baik kepada anak-anak, sebelum kita harapkan anak menunjukkan sikap dan teladan yang baik,” katanya.

Selain itu, terdapat kaedah lain lagi supaya anak mendengar kata iaitu apabila mereka bercakap atau meluahkan sesuatu, ibubapa perlu beri perhatian seperti mana kita mahu anak mendengar apabila kita sedang bercakap.

Seterusnya, jangan cepat mengugut anak apabila berlaku sesuatu. Sebaliknya beri ruang untuk mereka berfikir dan buat keputusan. Ibubapa jangan ego untuk kata terima kasih pada anak-anak contohnya ‘terima kasih sayang, sebab dengan cakap mama’.

Membesarkan anak itu bukan suatu perkara yang mudah, sebagai ibubapa kita pasti ada melakukan kesilapan. Tetapi, berusaha untuk mendidik dan membesarkan anak dengan cara didikan yang betul supaya dapat membentuk anak-anak yang cemerlang dan berjaya dunia dan akhirat. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *