Jangan ambil mudah dengan gigitan nyamuk

Sebut sahaja tenang penyakit dari gigitan nyamuk pasti ramai yang mula fikir tentang penyakit denggi, malaria atau zika. Ramai yang masih tidak sedar virus dikenali sebagai Ensefalitis Jepun (JE) daripada gigitan nyamuk Culex juga berbahaya kerana boleh membawa maut tetapi jarang untuk dibincangkan.

Virus JE tidak dipandang serius kerana dianggap kes terpencil tetapi langkah pencegahan yang lebih efektif perlu diambil kerana kadar kematian mereka yang dijangkiti penyakit ini mencecah setinggi 30 peratus.

Jika ada pesakit terselamat, 20 hingga 30 peratus biasanya akan mengalami kecacatan neurologi kekal yang mengubah hidup mereka. Virus ini ditemui pada babi dan burung, ia sejenis virus yang menjangkiti otak dan disebarkan oleh nyamuk Culex yang menggigit haiwan yang dijangkiti.

Manusia akan dijangkiti virus JE itu apabila digigit oleh nyamuk Culex yang telah dijangkiti. Buat masa ini, tiada ubat untuk JE. Hanya rawatan sokongan yang dapat membantu merawat fungsi badan ketika ia cuba melawan jangkitan.

Pesakit perlu mendapat rawatan di hospital supaya pesakit dapat dipantau dari segi pengambilan cecair, oksigen dan ubat untuk merawat sebarang simptom.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik, Klinik Pakar Signature, Dr. Tan Gek Ling, memaklumkan kurang kesedaran dalam kalangan orang ramai ini amat berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak yang mempunyai sistem imun yang rendah berbanding orang dewasa.

“Gigitan nyamuk boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dan kita tidak tahu bila gigitan nyamuk itu boleh membawa maut. Memandangkan simptom JE serupa dengan selesema atau flu, kita mudah menganggapnya sebagai sesuatu yang kecil.

“Tetapi pada hakikatnya ia tidak seperti selesema. Satu daripada tiga kes JE mengakibatkan kematian. Jika ibu bapa lebih peka, mereka boleh mengenal pasti gejala-gejala JE, yang berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak,” ujarnya.

Simpton atau gejala dijangkiri virus JE tidak ramai yang sedar kerana sering salah anggap sebagai demam selesema yang biasa. Tetapi, kira-kira seorang daripada 250 orang yang dijangkiti JE mengalami gejala yang teruk, kerana jangkitan itu merebak ke otak.

Pesakit yang selamat dari jangkitan JE itu akan mengalami kesan kognitif seperti tidak boleh mendengar atau melihat, bergantung di mana bahagian otak diserang.

Vaksin JE adalah cara untuk mencegah terkena penyakit membawa maut itu. Tetapi, di Malaysia hanya Sarawak yang diwajibkan menyambil vaksin itu sejak 2001 untuk bayi berumur sembilan hingga 21 bulan.

Apapun, Dr. Tan menggalakkan ibubapa mempertimbangkan pengambilan vaksin JE untuk anak-anak walaupun bukan tinggal di kawasan berisiko, malah mereka yang mempunyai perancangan untuk mengunjungi kawasan sedemikian seperti berkhemah di hutan.

“JE ialah penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Pemvaksinan menawarkan perlindungan terbaik daripada JE. Kanak-kanak yang terselamat daripada maut akibat penyakit ini berkemungkinan besar akan menderita sepanjang hayat.

“Ibu bapa digalakkan untuk berbincang dengan pakar pediatrik atau pengamal penjagaan kesihatan mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang JE dan pemvaksinan yang mampu memberi ketenangan fikiran berkenaan perkara ini,” tambah Dr. Tan.

Pemvaksinan JE boleh didapati di pusat perubatan dan klinik pediatrik yang terpilih, pada kos RM130 dan ke atas dan ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *