Jangan tertipu jika dapat panggilan dari Wakil Kastam

Orang ramai diingatkan jangan mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon yang mendakwa daripada wakil Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ini susulan banyak aduan yang diterima JKDM daripada mangsa yang terpedaya dengan panggilan palsu berkenaan yang dikategorikan sebagai Macau Scam dan dipercayai dilakukan oleh warga tempatan dan rakyat asing.

Modus operandi sindiket penipuan panggilan palsu ini dengan menelefon secara rambang orang awam dan pemanggil mendakwa mereka adalah wakil Jabatan Kastam.

“Kami menerima banyak laporan berkaitan kes ini dan mereka biasanya akan menggunakan talian 1300 735 798 atau 4640 9078 dan nombor lain yang tidak berkaitan dengan JKDM,” menurut kenyataan itu.

Pemanggil akan mendakwa mangsa dikenakan sejumlah penalti oleh JKDM dan diberi amaran akan diambil tindakan sekiranya tidak menjelaskan bayaran penalti tersebut.

Disebabkan takut diambil tindakan undang-undang, mangsa akan membuat pembayaran dan mengakibatkan kerugian berjumlah ribuan ringgit kerana tertipu.

Justeru, kenyataan itu menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah itu. Malah, boleh terus mengabaikan terus panggilan tersebut jika tidak mempunyai sebarang urusan dengan pihak kastam.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak menghubungi semula nombor telefon yang diberikan sebaliknya membuat semakan dan pertanyaan lanjut dengan JKDM melalui talian yang betul,” katanya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai boleh menghubungi, Pusat Panggilan Kastam di saluran berikut: 1300 888 500 (Pertanyaan Umum), 1800 888 855 (Aduan Penyeludupan), 03 8882 2100 (Ibu Pejabat, Putrajaya) atau ccc@customs.gov.myaduan@customs.gov.my. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *