Jangan tinggalkan beg tangan dalam kereta ketika isi minyak

Seorang wanita berdepan detik cemas apabila cermin keretanya telah dipecahkan dan beg tangan dilarikan seorang lelaki dalam kejadian samun di kawasan stesen minyak.

Mangsa warganegara tempatan berusia 23 tahun itu berhenti di kawasan stesen minyak hentian rehat dan rawat (R&R) Kubang Semang untuk mengisi minyak.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa yang ketika itu sedang membuat bayaran di kaunter stesen minyak telah menyedari cermin kereta miliknya dipecahkan oleh suspek berusia 23 tahun dan melarikan beg tangan mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid memaklumkan mangsa yang melihat perbuatan itu telah menjerit meminta pertolongan dan beberapa orang awam di kawasan stesen minyak itu telah mengejar suspek.

Beliau berkata, suspek yang panik telah terbabas ke dalam longkang sebelum berlaku pergelutan antara orang awam.

“Suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z terbabas sebelum berlaku pergelutan sehingga dia terjatuh ke dalam longkang berhampiran stesen minyak berkenaan.

“Kebetulan ketika itu sepasukan polis berpakaian preman yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan turut berada berhampiran lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek,” katanya.

Hasil tangkapan itu, polis berjaya menemui semula beg tangan milik mangsa yang cuba dilarikan suspek.

Menurutnya, penemuan dadah jenis syabu seberat 1.88 gram dan spark plug yang diubah suai telah dijumpai pada suspek.

Malah, turut menjumpai sebilah pisau lipat berukuran 19 sentimeter yang disimpan dalam beg yang dibawa suspek.

“Suspek mempunyai enam rekod jenayah dan empat rekod kesalahan dadah kini direman selama empat hari,” katanya.

Apapun, orang ramai diminta tidak meninggalkan beg tangan dalam kereta ketika mengisi minyak dan lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *