Kanak-kanak pelarian etnik Rohingya alami kebuluran kekurangan zat makanan kritikal

BALUKHALI, BANGLADESH  – Agensi bantuan memaklumkan pelarian etnik Rohingya di kem pelarian Bangladesh kini berdepan dengan kekurangan zat makanan yang kritikal malah hampir suku daripada golongan kanak-kanak pelarian itu be­risiko mengalami kebuluran.

Malah kebanyakan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun yang mengalami kekurangan zat makanan itu dijangka meninggal dunia akibat jangkitan penyakit.

Golongan kanak-kanak me­rupakan 40 peratus daripada 625,000 pelarian etnik Rohingya yang ditempatkan di kem pela­rian di negara ini.

Analisis yang dilakukan oleh Tabung Darurat Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati kira-kira 7.5 peratus remaja etnik itu iaitu sekitar 17,000 orang me­ngalami kekurangan zat makanan yang teruk.

Selain kesan pada bentuk fi­zikal, keadaan kanak-kanak ber­kenaan menjurus kepada imuniti badan yang lemah sekali gus memudahkan mereka dijangkiti penyakit.

Seorang doktor dari Pertubuhan Antarabangsa untuk Pendatang, Dr. Charles Erik Haider berkata, kekurangan zat makanan menyebabkan kanak-kanak ter­se­but mudah menghidap cirit-birit atau pneumonia dan perlu dimasukkan ke hospital.

Menurut UNICEF, semasa me­larikan diri ke Bangladesh, kebanyakan pelarian hanya mam­­pu makan sekali sehari dan minum air sungai atau lopak air.

Walaupun bantuan makanan telah diagihkan oleh Tentera Bangladesh dan Program Makanan Sedunia seperti beras, kacang dan minyak, setiap dua minggu namun golongan kanak-kanak masih bergelut untuk makan dengan sempurna.

Kata Haider, kebanyakan go­lo­ngan ibu Rohingya tidak me­nyedari kekurangan zat maka­nan merupakan punca penyakit yang dialami oleh anak masing-masing.

“Malah ibu bapa tidak menge­tahui anak mereka kekurangan zat makanan sehinggalah bertemu doktor untuk merawat penyakit lain malah kebanyakan mereka hanya mengetahui anak mereka mempunyai penyakit selepas mendapati gelang tradisi yang dipakai anaknya terlucut daripada tangan mereka yang kurus,” katanya.

Justeru beliau memberitahu, kesedaran tentang zat makanan terhadap golongan ibu bapa Ro­hi­n­­g­ya perlu ditingkatkan. – Reuters

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *