Kaum cina harus pilih MCA dan Gerakan jika mahu terus maju

Selama ini kerajaan DAP yang memerintah Pulau Pinang sering mengatakan bahawa kononnya mereka adalah parti yang membela dan memperjuangkan nasib masyarakat Cina di negara ini.

Sedangkan hakikatnya, kata pembahas usul ucapan Dasar Presiden dari Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Said, MCA dan Gerakan yang selama ini berjuang membela nasib masyarakat Cina sebelum merdeka sehinggalah saat ini .

“MCA dan Gerakan telah lama berjuang untuk pembangunan masyarakat Cina. Pembangunan masyarakat Cina yang ada hari ini, penguasaan ekonomi dan sebagainya adalah hasil daripada perjuangan MCA dan Gerakan,” katanya.

Beliau juga berkata, UMNO akan membantu MCA dan Gerakan dalam usaha untuk memberikan penerangan kepada masyarakat Cina bahawa kedua-dua parti itu yang berjasa dengan mereka.

“Walaupun ini merupakan satu tanggungjawab yang sangat berat, tapi kita perlu laksanakan untuk melihat semua bangsa berada dalam saf untuk kita membina negara kita pada masa hadapan.

“Ini kerana DAP telah berjaya meracuni minda kaum Cina bahawa mereka adalah parti terbaik dalam membela kaum itu di dalam negara ini.

“Jadi, UMNO perlu bantu bersama untuk mengeluarkan pemikiran DAP adalah juara bagi kaum Cina pada hari ini, di kalangan kaum Cina di dalam negara ini,” kata Zaidi.

Tambahnya, UMNO perlu bantu MCA dan Gerakan keluar daripada garis kesusahan atau penolakan rakyat yang sedang dihadapi oleh mereka ini supaya mereka dapat berada bersama dengan kita untuk sama-sama melakar sejarah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *