Kementerian sahkan “Pokok boleh bercakap”

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah mengesahkan terdapat pelbagai jenis pokok terutamanya sayuran didapati boleh ‘bercakap’.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah memaklumkan, pokok itu bukan sahaja boleh tumbuh menghijau tetapi mampu untuk memberi tindak balas terhadap manusia.

Walaupun begitu, ia bukan bermakna pokok itu boleh bercakap seperti mengeluarkan perkataan tetapi bertindak balas melalui baja yang disambung kepada komputer.

“Pokok boleh bercakap ini sebenarnya hasil daripada kajian mereka yang menggunakan kaedah hidroponik iaitu kegunaan dalam air.

“Apa yang mereka buat tak adalah teknikal sangat. Mereka gunakan wayar dan baja, jadi disambung kepada komputer,” katanya.

Beliau berkata baja yang diletakkan pada pokok dan disambung ke komputer itu dapat mengesan kekurangan yang terdapat pada pokok.

“Pagi-pagi, tisu itu bagi isyarat pada komputer misalnya baja kurang sebab tisu itu sudah lebih. Jadi dia maklum kepada kita sebab itu kita kata pokok itu boleh bercakap, ada sensor.

“Macam kita juga kalau ada kencing manis baru kita tahu kandungan gula lebih. Pokok juga boleh bagi tahu bahawa sudah terlebih, maknanya esok jangan bagi lagi,” katanya.

Walaupun begitu, kajian itu mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk disiapkan.

“Pokok apa pun boleh (bercakap), cuma sekarang kajian ini masih di peringkat makmal lagi. Kajian dibuat dalam negara kita.

“Melalui kajian ini sebenarnya mereka boleh mohon daripada Mosti iaitu Dana Inovasi sebab mereka baru nak cipta satu benda baru. Kita boleh berikan maksimum RM500,000,” katanya.

Menurutnya, kajian ini dilakukan bukan semata-mata untuk tujuan ilmiah sahaja. Tetapi, lebih kepada menggabungkan kreativiti dan wujudkan produk-produk baru. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *