Kerajaan BN utamakan belia demi masa depan Malaysia

Kunci kepada masa depan yang lebih terjamin bagi Malaysia adalah usaha mempertingkatkan peluang untuk belia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Begitu juga, katanya, dengan usaha memastikan pendidikan dan kemahiran yang betul disediakan untuk mereka.

Beliau berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah penting dalam melahirkan tenaga kerja muda yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

“Inilah sebabnya mengapa semua institusi TVET Malaysia di tujuh kementerian sedang digabungkan untuk menjadi TVET Malaysia di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KLIYD2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu mengenal pasti beberapa pendekatan lain yang sebelum ini konsepnya tidak memberi kesan kepada golongan muda.

Beliau berkata, usaha kerajaan yang mahu memperkenalkan ‘Agenda Sosial’ akan melihat kepada usaha menyelesaikan masalah penagihan dadah menerusi penyertaan.

“Sebagai contoh, sejak sekian lamanya kami berusaha gigih untuk menangani penagihan dadah. Tetapi kabinet saya mengakui bahawa pendekatan sedemikian mungkin bukanlah cara yang paling berkesan,” katanya.

Tambahnya, ini akan memastikan golongan muda mempunyai pekerjaan agar mereka mempunyai semangat dan mahu menjalani kehidupan berbanding mengejar eskapisme yang menghancurkan kehidupan.

“Daripada mengasingkan penagih, kita perlu menyatukan mereka. Kita perlu memberi peluang kepada mereka,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan telah membelanjakan hampir RM13 bilion untuk membantu golongan muda memiliki rumah mampu milik dan menyelesaikan isu perumahan terutamanya di kawasan bandar.

“Ini adalah antara beberapa dasar yang kita buat untuk menangani cabaran dalam mewujudkan masa depan yang lebih terjamin bagi golongan muda Malaysia,” kata beliau sambil memberitahu bahawa kerajaan juga banyak berunding dalam merumuskan agenda Transformasi Negara 2050 (TN50). –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *