Kerajaan DAP didakwa pandang remeh isu keselamatan rakyat

PULAU PINANG – Gerakan Pulau Pinang menempelak pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak memandang serius berhubung isu pemasangan penutup pembetung di negeri ini sehingga menimbulkan risiko keselamatan terhadap orang awam.

Naib Presiden Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, walaupun telah berlaku dua kejadian di tempat yang sama sehingga meragut nyawa, namun tiada sebarang tindakan yang diambil oleh PBT.

Beliau berkata, dalam kejadian awal bulan November lalu, seorang warga emas bernasib baik berjaya diselamatkan selepas terjatuh ke dalam pembetung yang tidak ditutup berhampiran Spice Convention Centre di sini.

Oh menyifatkan kejadian itu menunjukkan PBT dan kerajaan negeri langsung tidak memandang serius dan mengambil pengajaran walaupun seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam pembetung di kawasan sama dalam kejadian banjir kilat Julai lalu.

“Saya telah mengadakan dua sidang akhbar pada 19 Julai dan 28 Julai lalu menggesa kerajaan negeri memandang serius perkara ini.

“Setelah empat bulan, tiada tindakan diambil oleh mereka untuk atasi masalah ini dan baru-baru ini kejadian membabitkan orang awam sekali lagi berulang dan ini menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mahu mendengar masalah rakyat.

“Adakah kerajaan negeri memandang remeh tentang isu keselamatan dan nyawa rakyat negeri ini serta mahu melihat kemalangan sama berlaku sekali lagi?” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa PBT agar segera memasang pagar atau penutup pembetung bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku.

“Mengikut ramalan cuaca, hujan akan berterusan sehingga akhir tahun dan rakyat berasa cemas setiap kali hujan. Kerajaan negeri jangan hanya pandai bercakap kosong,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *