Kerana mahukan harta, seorang lelaki jerut leher dan kelar teman wanita

Misteri kematian seorang gadis yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di rumahnya di Kecamatan Setu, Tangerang Selatan, Indonesia, Isnin lalu terbongkar apabila pembunuhan itu dirancang sendiri oleh teman lelaki mangsa.

Memetik Tribunews, lelaki itu dan seorang lagi suspek merancang membunuh mangsa, Siti Nurhayati, 22, yang merupakan seorang guru kerana mahu membolot harta dan barangan milik gadis malang itu.

Pegawai polis siasatan jenayah daerah Tangerang Selatan AKP Alexander berkata mangsa ditemui dalam keadaan tangan kanannya mengalami kesan luka akibat dikelar, leher bercalar serta terdapat kesan tikaman pada bahagian perut, dipercayai menggunakan senjata tajam.

 

Katanya, beberapa bahan bukti seperti pisau, gelas dan topi berwarna hitam dipercayai milik suspek ditemui di tempat kejadian yang seterusnya membawa kepada penangkapan dua suspek tersebut.

Alexander menambah, kedua-dua suspek berjaya ditahan di dearah Subang ketika suspek cuba melarikan diri dan bersembunyi daripada pihak polis.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 23 dan 22 tahun mengakui merancang, merompak dan membunuh mangsa.

“Suspek sudah merancang jenayah tersebut bagi mendapatkan harta benda mangsa.

“Mereka mengambil kad ATM milik Siti Nurhayati, melarikan motosikal dan mencuri telefon bimbit mangsa. Salah seorang daripada mereka merupakan teman lelaki mangsa dan dia mengetahui nombor pin ATM tersebut,” katanya, semalam.

Selepas disoal siasat, Alexander berkata rancangan membunuh mangsa dilakukan dengan cara teman lelaki mangsa berpura-pura bertengkar dengan gadis itu sebelum seorang lagi suspek melakukan serangan ke atas mangsa.

“Ketika mangsa sedang bertengkar dengan teman lelakinya, seorang lagi suspek menjerut leher mangsa dengan menggunakan tali pinggangnya.

“Kemudian teman lelaki mangsa mengambil pisau di dapur lalu mengelar tangan mangsa sebelum bertindak melarikan motosikal dan beberapa lagi barangan milik gadis itu,” katanya.

Sumber – malaysianupdate

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *